Kota Kinabalu : Kerajaan negeri mahu penggemar aktiviti menyelam skuba perlu mengutamakan keselamatan yang menjadi tunjang utama dalam setiap aktiviti marin yang berisiko tinggi.
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai, berkata keselamatan bukan pilihan, tetapi keutamaan mutlak dalam aktiviti menyelam.
“Lautan adalah khazanah alam yang kita warisi, namun ia datang dengan tanggungjawab besar.
“Ini terutamanya dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan setiap individu yang menyelaminya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Safety Medical Talk 1.0 anjuran Kelab Sabah Dive Squad di Dewan Sekafi, Galeri Azman Hashim, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) dan UMS.
Tambah Josie, menyelam bukan sekadar aktiviti rekreasi, sebaliknya merupakan disiplin teknikal yang memerlukan pengetahuan, latihan menyeluruh serta pematuhan ketat terhadap protokol keselamatan.
“Program seperti ini sangat penting kerana ia bukan sahaja memberi pendedahan terhadap isu keselamatan dan perubatan berkaitan selaman, tetapi juga berpotensi menyelamatkan nyawa.
Program sehari itu menghimpunkan hampir 100 peserta, termasuk pengendali pusat selaman, doktor perubatan, penyelidik, pelajar, serta pegawai dari Polis Maritim, APMM, TLDM, Jabatan Bomba dan agensi kerajaan berkaitan.
Barisan penceramah profesional turut dijemput, antaranya Lt Kol (Dr) Eugene Tan Choon Li (penasihat perubatan skuba), Pegawai Waran Pertama Almudi Eskal (penasihat selaman teknikal), dan aktivis pemuliharaan laut Monica Chin.
Wakil kementerian, Mohd Hisham Ujang, turut berkongsi mengenai prosedur operasi standard (SOP) penyelaman skuba yang diguna pakai di Sabah.
Sementara itu, Presiden Kelab Sabah Dive Squad, Sim Fui, mengingatkan bahawa insiden penyelaman yang berlaku di perairan Sabah kebelakangan ini menjadi peringatan serius kepada semua.
“Bahaya boleh muncul pada kedalaman apa pun, daripada perpisahan semasa selaman, kecemasan perubatan hingga kehilangan nyawa, ” katanya.