Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : Lebih 600 pelajar melibatkan dua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) hari ini menerima Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri Sabah (SENTOSA).
Sumbangan yang disalurkan Kerajaan negeri itu disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini pada Ahad.

Dari jumlah pelajar yang menerima, seramai 319 orang merupakan pelajar UMS dan 323 orang lagi adalah pelajar Kolej MAHSA Sabah.
Hajiji dalam ucapannya berkata, bantuan SENTOSA yang dilancarkan pada Mac lalu di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya melibatkan peruntukan sebanyak RM6 juta.
Katanya, bantuan itu menyasarkan kira-kira 20,000 pelajar bumiputera Sabah yang menuntut di IPT dalam negeri.
“Bantuan ini bertujuan meringankan beban kewangan pelajar, khususnya untuk keperluan asas atau pulang ke kampung halaman. Ia juga mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan tiada pelajar yang tersisih daripada arus pendidikan.
“Saya berharap para pelajar memanfaatkan sepenuhnya segala bentuk bantuan yang disediakan dan terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing demi masa depan negeri dan negara,” katanya.
Sementara itu, beberapa pelajar ditemui merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan negeri atas inisiatif bantuan yang disalurkan.
Bagi pelajar UMS, Ivy Christie Felix berkata, bantuan yang diberikan berupaya membantu meringankan beban pelajar terutama ketika balik bercuti.

“Terima kasih kepada Kerajaan negeri Sabah kerana memberi bantuan ini terutama untuk kami balik kampung, jadi ini sangat membantu sebagai duit poket sepanjang perjalanan.
“Saya juga berharap agar bantuan seumpama ini dapat disalurkan kepada pelajar pada masa akan datang bagi menjaga kebajikan dan meringankan beban pelajar khususnya,” katanya.
Sementara itu, pelajar Kolej MAHSA Sabah, Fazemah Mustapha turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan negeri atas inisiatif bantuan yang disalurkan.

Beliau turut berharap agar bantuan seumpama itu disalurkan lagi pada masa akan datang. –Chronivo