HomeUtamaTawau berpotensi jadi hab pelancongan perubatan Borneo

Tawau berpotensi jadi hab pelancongan perubatan Borneo

Read Time:1 Minute, 58 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Tawau: Tawau kini berpotensi besar untuk muncul sebagai hab pelancongan perubatan (medical tourism) di Borneo dengan termeterainya kerjasama strategik antara KMI Tawau Medical Centre dan Rusleeya Healthcare Sdn. Bhd. yang memfokuskan kepada pelaksanaan perkhidmatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH).

Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) itu disempurnakan hari ini dalam majlis yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

“Kerjasama ini bukan sahaja dapat memperkukuhkan sektor kesihatan pekerjaan, malah membuka peluang luas untuk mempromosikan pelancongan perubatan di Tawau.

“Lokasi kita yang strategik bersempadan dengan Indonesia dan kedudukan Kalimantan sebagai pusat pentadbiran baru negara jiran adalah satu kelebihan besar,” katanya.

Beliau ketika ditemui selepas majlis itu, di sini pada Sabtu.

Pengurus Besar KMI Tawau, Zainulalim Samsudin (dua dari kiri, duduk) dan Pengarah Perubatan Rusleeya Healthcare, Dr. Rusli Rolon (dua dari kanan) menandatangani MoU antara kedua pihak. Foto Sitti Nor Azizah Talata

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengurus Besar KMI Tawau, Zainulalim Samsudin dan Pengarah Perubatan Rusleeya Healthcare, Dr. Rusli Rolon. Hadir sama, Pengarah KMI Tawau Medical Centre, Mohd Anuar Ali.

Perkhidmatan yang akan dilaksanakan ialah melibatkan penilaian kesihatan menyeluruh bagi para pekerja serta pematuhan kepada piawaian perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia.

KMI Tawau Medical Centre, yang merupakan sebahagian daripada rangkaian KMI Healthcare yang terkenal dengan fasiliti moden dan perkhidmatan bertaraf tinggi, akan berganding bahu dengan Rusleeya Healthcare yang merupakan  penyedia kepakaran dalam ujian audiometri dan spirometri mudah alih dalam usaha mewujudkan perkhidmatan OSH yang komprehensif dan mudah diakses.

Selain meningkatkan mutu penjagaan kesihatan untuk pekerja tempatan, Nizam percaya potensi untuk menarik pesakit antarabangsa juga sangat besar, khususnya dari Kalimantan dan kawasan sekitar Asia Tenggara.

“Tawau kini bukan sahaja menjadi pintu masuk perdagangan dan pelaburan, tetapi juga mampu menjadi destinasi pelancongan perubatan. Kita boleh menawarkan rawatan berkualiti tinggi pada kos yang kompetitif, sekaligus merangsang ekonomi tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam berkata, gabungan kepakaran dua organisasi ini dijangka menjadi model kerjasama sektor swasta yang berimpak tinggi dalam membina masa depan penjagaan kesihatan yang lebih inklusif, moden dan berorientasikan pelancongan perubatan, sekaligus menjadikan Tawau antara destinasi utama rawatan kesihatan di rantau Borneo.

Beliau turut menyeru agar kerjasama seperti ini diperluas ke kawasan lain di Sabah dan Wilayah Borneo, agar manfaat sektor perubatan swasta dapat dirasai secara menyeluruh sambil membina reputasi Tawau sebagai pusat rawatan pilihan di rantau ini. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

800 bungkusan makanan disumbangkan kepada mangsa banjir, petugas di Penampang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular