Kota Kinabalu: Pihak bertanggungjawab khususnya pentadbir sekolah digesa untuk mengambil tindakan tegas dan tidak melindungi pembuli di sekolah.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan berkata, pembuli perlu diambil tindakan tegas dan diberikan pengajaran keras.
“Kalau ada pelajar yang dibuli, bermakna ada pembuli di sekolah dan perkara ini perlu diambil tindakan tegas, diberi pengajaran keras dan pihak yang bertanggungjawab perlu segera menyelesaikannya.
“Tidak wajar jika pembuli yang tidak bermoral terus dilindungi identiti, cuma kerana dia juga seorang pelajar. Jika hari ini dia buli rakan sekolah, esok bila dewasa dan keluar dari alam persekolahan, apa dia mahu jadi? Siapa dia mau buli? Ini la bibit-bibit sifat penjenayah yang kelak boleh merosakkan keharmonian dalam institusi masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, pada Jumaat.
Fairuz berkata, kejadian buli yang sering berulang tanpa episod penamat adalah umpama duri dalam daging yang perlu dihentikan demi kesejahteraan dan keselamatan para pelajar di sekolah.
“Kita hantar anak-anak ke sekolah untuk belajar, mencari ilmu, bergaul berkawan sesama mereka dan berusaha keras mengejar cita-cita menjadi anak bangsa berguna.
“Apa guna jika wujud segelintir virus perosak seperti golongan pembuli ini, dan pihak bertanggungjawab dan sekolah mendiamkan diri, melindungi mereka dan sampai bila perlu mangsa dan keluarga mangsa perlu bersedih kerana keadaan yang sangat tidak adil ini?.
“Tolong, saya merayu, saya menyeru semua yang bertanggungjawab, semua yang memegang kuasa untuk mengatasi dan menguruskan masalah buli, tolong, bantu kita didik anak-anak kita dan beri hukuman setimpal kerana kita perlu kekang budaya samseng dan buli di sekolah,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial berhubung kejadian seorang pelajar perempuan tngkatan satu sebuah sekolah menengah di Papar, meninggal dunia selepas terjatuh daripada tingkat tiga sekolah itu, Rabu lalu.
Mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQEI) untuk mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia pada Khamis, malam.
Fairuz turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa.
“Saya seorang bapa dan bila ada kejadian seumpama ini, saya sedih, saya bayangkan anak-anak saya di sekolah.
“Kadang-kadang saya sendiri rasa lemah bila ada kejadian seumpama ini berlaku, anak kita yang kita tatang bagai minyak penuh, meninggal dunia kerana kejadian yang tidak pernah kita bayangkan akan berlaku pada mereka.
“Semoga keadilan dapat ditegakkan, jangan lindungi pembuli, jangan terus biarkan budaya buli wujud dalam komuniti anak-anak kita di sekolah, hentikan semua ini, ambil tindakan wajar secara tuntas,” katanya.