Sitti Nor Azizah Talata
Tawau: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan bahawa slogan ‘Sabah for Sabahan’ kekal relevan dan penting dalam konteks semasa, khususnya untuk memperjuangkan hak serta kedudukan Sabah seperti yang terkandung dalam MA63.
“Semangat Sabah for Sabahan itu adalah untuk memastikan bahawa tujuan asal dan hak Sabah dalam Malaysia dihormati, tidak diabaikan.
“Ada perjanjian-perjanjian yang telah kita persetujui ketika membentuk Malaysia. Tapi ada pihak yang melihat Sabah ini statusnya sama seperti negeri lain sedangkan bagi kita, Sabah, bersama Sarawak dan Semenanjung, adalah membentuk Malaysia,” tegas beliau lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival Bahasa dan Sastera (BAHTERA) di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu menambah, perbezaan status antara negeri biasa dan wilayah perlu difahami oleh semua pemimpin, supaya suara dan hak rakyat Sabah tidak diketepikan.
Menurutnya, GRS yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa menitikberatkan kepentingan negeri ini dalam setiap aspek pentadbiran dan pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan politik semasa, Nizam berkata, perbincangan masih diteruskan dan setakat ini belum ada yang dimuktamadkan lagi.
“Seperti yang kita maklum daripada kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, perbincangan masih berjalan, jadi setakat ini memang belum ada yang muktamad.
“Namun asasnya bahawa kerajaan Sabah itu adalah GRS-PH dan apapun yang ingin dirangka dan diputuskan mestilah berasakan GRS-PH,” ujar beliau.
“Urus tadbir, apa pun bentuk kerjasama politik, mesti berdasarkan asas kerajaan GRS-PH di Sabah. Seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, segala perbincangan masih berjalan dan belum ada keputusan muktamad,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa GRS akan terus berjuang agar segala keputusan yang melibatkan Sabah dilakukan dengan merujuk suara rakyat dan tidak ditentukan oleh pihak luar.
“Kita mahu pastikan Sabah terus berada dalam landasan yang betul, dan setiap keputusan yang dibuat mestilah mengutamakan Sabah. Negeri ini perlu diurus oleh parti Sabah, bukan dari luar,” katanya. – Chronivo