Kota Kinabalu : Music Author Copyright Protection (MACP) mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam perlindungan hak cipta karya muzik dan rakaman bunyi.
Delegasi MACP yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Mary Yap itu turut disertai beberapa pegawai kanan termasuk Pengurus Bahagian Keahlian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam Normasayu Alias dan beberapa pegawai lain.
Kunjungan itu disambut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Peter J. Berinus Agang bersama barisan pegawai kanan KPDN Sabah.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan pelaksanaan undang-undang hak cipta di negeri ini, khususnya membabitkan persembahan muzik di premis-premis perniagaan dan tempat awam.
Menurut MACP, organisasi tersebut memainkan peranan penting dalam mewakili pencipta muzik termasuk komposer, penulis lirik dan penerbit muzik dalam urusan pelesenan dan pengutipan royalti.

Dalam sesi perbincangan, MACP turut menggariskan keperluan pelesenan sah bagi premis yang menggunakan muzik secara terbuka.
KPDN Sabah dalam kenyataan menyambut baik usaha tersebut dan menyatakan komitmen untuk menyokong MACP dalam aspek penguatkuasaan serta meningkatkan kesedaran awam berhubung perlindungan hak cipta.
Selain itu, KPDN turut mengesyorkan agar MACP mengadakan siri taklimat dan advokasi kepada pemain industri serta pengusaha premis di Sabah bagi memastikan pemahaman yang lebih jelas terhadap keperluan undang-undang berkaitan pelesenan muzik.
Kunjungan ini menjadi langkah awal yang positif ke arah memperkukuh kerjasama dua hala demi memartabatkan industri muzik tempatan serta melindungi hak pencipta karya kreatif di negeri ini. – Chronivo / FOTO KPDN SABAH