Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Sekiranya tempoh pentadbiran Ketua Menteri Sabah dihadkan kepada dua penggal berturut-turut, ia bakal menjadi reformasi besar dalam landskap politik negeri ini.
Cadangan penting itu antara komitmen awal Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mahu dimasukkan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang sekiranya kembali diberi mandat oleh rakyat.
Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu termasuk dalam dokumen tekad dan komitmen GRS sebagai kesinambungan reformasi pentadbiran dan tadbir urus negeri yang telah digerakkan sejak 2020.
“Semalam (15 Julai) saya diberi amanah oleh Pengerusi GRS, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor untuk mempengerusikan mesyuarat pertama pasukan petugas khas merangka manifesto baharu GRS, yang turut melibatkan wakil lapan parti komponen.
“Manifesto itu akan mempunyai dua komponen utama. Pertama, komponen berpaksikan ikhtiar dan halatuju ke hadapan GRS yang berasaskan empat teras perjuangan iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.
“Kedua, komponen tekad dan komitmen GRS untuk memaparkan pencapaian lima tahun pentadbiran lalu termasuk apa yang telah dilaksanakan (walk the talk) dan usaha yang sedang dijalankan (work in progress),” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Menurutnya, salah satu contoh ikhtiar di bawah teras Sabah United adalah komitmen GRS untuk mengehadkan tempoh pentadbiran Ketua Menteri kepada dua penggal berturut-turut melalui pindaan kepada Perlembagaan Negeri Sabah.
“Sebenarnya perkara ini telahpun diluluskan oleh Kabinet Negeri pada Disember 2023, namun kerana kita tidak memiliki majoriti dua pertiga, ia belum dapat dibentangkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Oleh itu, antara ikrar penting kita dalam manifesto PRN17 nanti adalah untuk melaksanakan pindaan ini sebaik sahaja mandat baharu diperoleh daripada rakyat,” katanya.
Beliau menjelaskan, had tempoh ini hanya tertakluk kepada dua penggal berturut-turut. Sekiranya seseorang Ketua Menteri mempunyai kebolehan dan peluang untuk kembali memimpin selepas ‘berehat’ satu penggal, perkara itu masih boleh dipertimbangkan.
“Tetapi yang penting, tidak boleh lebih dua penggal secara berterusan. Ini adalah sebahagian reformasi tadbir urus yang kita tekankan agar kepimpinan negeri sentiasa segar, bertanggungjawab dan tidak terikat kepada satu individu terlalu lama,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata GRS memerlukan kemenangan lebih dua pertiga kerusi DUN untuk memastikan pindaan Perlembagaan itu dapat diluluskan dalam persidangan DUN kelak.
Tambah beliau, mesyuarat petugas khas manifesto GRS akan diteruskan dalam masa terdekat dengan setiap parti komponen akan mengemukakan syor berdasarkan kerangka empat teras yang telah dipersetujui.
“Kita akan perhalusi dan bawa hasilnya untuk pertimbangan Majlis Tertinggi GRS sebelum diumumkan kepada rakyat,” katanya.