Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Enam warga asing termasuk seorang dari Namibia didenda RM10,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku bersalah tinggal lebih masa di Sabah.
Kesemua tertuduh juga diperintahkan menjalani hukuman penjara antara enam hingga 12 bulan, sekiranya gagal melunaskan denda masing-masing.
Johannes Christiaan Rudolf Liebenberg @ Liebenberg Johannes Christiaan Rudolf, yang memegang pasport Namibia, ditahan di Kaunter Pemeriksaan Imigresen Balai Pelepasan Domestik Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 29 Jun lalu selepas Pas Lawatan Sosial miliknya didapati hanya sah sehingga 11 Mei 2025.
Dia telah tinggal di negeri ini melebihi tempoh yang dibenarkan selama 1 bulan 19 hari.
Manakala lima lagi individu, kesemuanya warga Pakistan iaitu Aman Ullah, Maaz Khan, Aleem Shah, Muhammad Luqman dan Ubaid Ullah ditahan di rumah-rumah tidak bernombor di Skim Penempatan Telipok pada 29 Mei lalu.
Mereka telah tinggal lebih masa hampir setahun selepas Pas Lawatan Sosial masing-masing didapati telah tamat tempoh.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta yang sama, yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM10, 000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Hanya Aman, Maaz dan Aleem gagal melunaskan denda dan akan menjalani hukuman penjara selama enam bulan.
Kesemua tertuduh diperintahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Pegawai Pendakwa Baxter Junior Goh mengendalikan pendakwaan di hadapan Hakim Hurman Hussain.