Penampang: Lagu berbahasa Kadazan berjudul ‘Hangadon Zou’ membawa tuah kepada penyanyi kelahiran Daerah Tambunan, Lyron Felix apabila berjaya dinobatkan sebagai Juara Lagu SabahVfm 2025.
Menerusi lagu yang liriknya dicipta oleh Raymond KSTV Stephen, Pontius Otigil dan komposernya Elvine Ng Nyuk Vui itu, Lyron membawa pulang wang tunai RM 6,000 beserta trofi dan sijil penghargaan.
Lagu tersebut juga dipilih menjadi Johan kategori Lagu Kadazan dengan hadiah RM 4,000 beserta trofi dan sijil penghargaan menjadikan jumlah keseluruhan yang dirai Lyron sebanyak RM 10,000.
Seramai 12 orang finalis berentap dalam Pentas akhir Anugerah Juara Lagu SabahVfm 2025 mengikut empat kategori iaitu kategori Lagu Kadazan, kategori Lagu Dusun, Kategori Lagu Bajau dan Kategori Lagu Murut.
Bagi kategori Dusun, lagu berjudul ‘Boros Ginawo’ dendangan artis Pentarama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Norzizi Safira Iddy hasil lirik dan komposer Marcolate Viola Marcus dan Jairah Marcus menjadi juara menewaskan dua pesaing lain dalam kategori tersebut.

Manakala, kategori Bajau pula dijuarai Mohd Rozaimi Rozali dengan lagunya Selekat Hati menewaskan dua peserta lain iaitu Muhammad Hud Luthfi Jamail dan seorang lagi artis Pentarama JAPEN, Tantiana Tukiman.
Duet Syamson Tingkalur dan Afiezal Fahmi Inggu dengan lagu mereka Simpatataan hasil lirik dan komposer Jati Ampasok mengungguli kategori Murut sekali gus menewaskan Anjee Afirra Laijih dan Sitipah Jahamin.
Tiga anugerah khas turut disampaikan dalam acara tersebut iaitu Anugerah Lirik Lagu Terbaik yang dimenangi Norzizi Safira (Boros Ginawo), Anugerah Persembahan Terbaik dimenangi oleh Sitipah Jahamin dan Anugerah Vokal Terbaik disandang oleh Rozaimi.
Hadiah disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai yang mewakili Ketua Menteri dalam acara yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan KDCA , di sini pada Khamis.

Turut hadir dalam majlis tersebut Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam, Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Samah Sabah Datuk Japlin Akim dan Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah Mohd Yusni Mohamed Ali.