KUALA LUMPUR, — Istana Negara hari ini menegaskan bahawa pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan adalah urusan kenegaraan yang penting dan perlu ditangani secara cermat serta berintegriti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam satu titah rasmi yang dikeluarkan hari ini, Istana Negara berkata bahawa pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara ini secara jelas menzahirkan prinsip semak dan imbang dalam sistem kehakiman negara,” menurut kenyataan itu.
Istana Negara turut merujuk kepada Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695], yang memperuntukkan proses pemilihan calon hakim. Namun begitu, kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong kekal terletak kepada Perdana Menteri.
Sehubungan itu, Istana Negara mengingatkan bahawa segala urusan pelantikan hakim di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara sah bagi memastikan perjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.