HomeUtamaParti Warisan perlu hentikan politikkan masa depan minyak dan gas Sabah –...

Parti Warisan perlu hentikan politikkan masa depan minyak dan gas Sabah – Gordon

Read Time:2 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Exco Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Gordon Horace Chin menggesa Parti Warisan agar menghentikan permainan politik berkaitan masa depan industri minyak dan gas Sabah.

Beliau berkata, kenyataan Ketua Wira Warisan, Datuk Azis Jamman mengenai penyertaan Sabah dalam sektor itu mencerminkan betapa parti berkenaan masih gagal memahami cabaran sebenar serta kemajuan yang telah dicapai di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Azis bersuara lantang tetapi jelas tidak memahami struktur industri minyak dan gas, termasuk Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC), risiko sektor huluan, dan tanggungjawab mengurus dana awam. Pandangannya bukan sahaja mengelirukan, malah berisiko menjejaskan kestabilan kewangan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, langkah yang diambil oleh SMJ Energy syarikat milik penuh kerajaan negeri adalah strategi yang bertanggungjawab dan berhemah apabila memfokuskan kepada aset yang telah terbukti menguntungkan serta hanya menyertai projek eksplorasi selepas penemuan dibuat.

“SMJ Energy bukan lambat bertindak, sebaliknya membuat keputusan berasaskan risiko dan manfaat sebenar. Melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas, Sabah kini mempunyai kepentingan besar termasuk 50 peratus dalam PSC Samarang, 10 peratus dalam LNG9 dan 25 peratus dalam SAMUR.

“SMJ bukan sekadar nama di atas kertas. Ia bernilai RM5 bilion dan telah membayar dividen RM160 juta kepada kerajaan negeri,” katanya.

Gordon turut menafikan dakwaan bahawa terbitan sukuk RM900 juta untuk pengambilalihan Sabah International Petroleum (SIP) merupakan satu bentuk ‘bailout’ seperti didakwa pemimpin Warisan.

Katanya, SIP ketika itu berdepan hutang besar yang sebahagian besarnya terkumpul semasa Presidennya sendiri menjadi Pengerusi syarikat tersebut, dengan hutang mencecah RM1.7 bilion menjelang 2020 dan berisiko menenggelamkan Sabah Development Bank (SDB).

“Kalau kerajaan GRS tidak bertindak, SDB mungkin gagal memenuhi obligasi bon dan mencetuskan krisis kewangan. Terbitan sukuk itu adalah langkah penstrukturan semula yang bersih dan berjaya.

“Ia terlebih langgan 3.9 kali, mendapat penarafan AAA dan diiktiraf sebagai Malaysia’s Best Non-IPO Fundraising Deal tahun 2023,” katanya.

Menurut beliau, penstrukturan tersebut membolehkan SIP membiayai semula hutang dengan kadar faedah lebih rendah, menjimatkan lebih RM60 juta setahun dan memulihkan kestabilan SDB.

“SMJ Energy kini terus berkembang kukuh berasaskan kecekapan pengurusan, bukan kronisme atau perakaunan kreatif seperti masa lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Gordon turut membidas dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal kononnya pentadbirannya berjasa menyelesaikan pembayaran bon kerajaan RM1 bilion pada 2019.

“Hakikatnya, bon yang diterbitkan pada 2014 telah dibayar menggunakan dana pelunasan (sinking fund) yang diwujudkan sejak awal. Pembayaran itu telah dirancang bertahun lebih awal dan bukan hasil inisiatif kerajaan Warisan,” katanya.

Beliau berkata, cubaan Warisan untuk mengelirukan rakyat dengan separuh kebenaran dan retorik politik hanya menunjukkan mereka semakin terdesak melihat kejayaan kerajaan sedia ada.

“Kami, Pemuda PGRS, berdiri teguh menyokong halatuju yang dirintis Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta kepimpinan ekonomi Datuk Seri Masidi Manjun. Taruhannya terlalu besar untuk Sabah kembali ke belakang.

“Cukuplah dengan retorik kosong. Masa depan Sabah mesti dibina dengan tanggungjawab, keyakinan dan perancangan jelas,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular