Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol seorang remaja bawah umur.
Mangsa kemudiannya hamil dan melahirkan seorang bayi perempuan pada 7 Februari 2024.
Hakim Elsie Primus menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Khairul Nizam Pilok, 26, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Khairul didapati bersalah merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun dua bulan di dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Sipitang, antara jam 10 malam pada 5 Mei 2023 sehingga keesokkan harinya jam 5 pagi.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan agar hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan, iaitu hari ini.
Dalam rayuannya, Khairul yang tidak diwakili peguam memohon agar hukuman diringankan atas alasan menyesal. Dia mendakwa hubungan itu berlaku atas dasar “suka sama suka” dan bahawa mangsa sendiri telah datang ke tempatnya.
Tertuduh juga memohon maaf kepada mangsa atas kejadian yang berlaku.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim memohon hukuman berat dikenakan, dengan alasan tertuduh telah membazirkan masa mahkamah memandangkan kes berlanjutan agak lama dan melibatkan perbicaraan.
Beliau turut berhujah bahawa saksi-saksi pembelaan yang dibawa oleh tertuduh tidak relevan dan hanya melambatkan prosiding.
“Mahkamah ini wajar mengambil perhatian bahawa mangsa telah hamil dan melahirkan seorang anak. Tindakan tertuduh menyebabkan bayi tersebut dibesarkan tanpa kehadiran bapa kandung.
“Walaupun Khairul memohon maaf kepada mangsa, trauma yang dialami tidak akan hilang dan akan kekal menjadi episod hitam dalam hidupnya.
“Hukuman berat juga wajar sebagai pengajaran kepada masyarakat, kerana mangsa khususnya kanak-kanak mesti dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang daripada sebarang jenayah seksual,” katanya.
Semasa perbicaraan, mahkamah dimaklumkan bahawa hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan bahawa tertuduh adalah bapa kandung kepada bayi tersebut.
Pihak pendakwaan memanggil empat orang saksi, manakala pihak pembelaan hanya mengemukakan dua orang saksi.