KUALA LUMPUR: YTL Group melancarkan inisiatif “YTL Beyond 70” sempena ulang tahun ke-70 syarikat itu, dengan komitmen untuk membina legasi yang lebih kukuh dan mampan kepada generasi akan datang.
Pengerusi Eksekutif YTL, Tan Sri (Sir) Francis Yeoh, berkata meskipun YTL kini berkembang menjadi syarikat bertaraf global dengan lebih 16,000 kakitangan di 11 negara, kejayaan sebenar bukan hanya diukur pada saiz, tetapi juga pada nilai dan tujuan.
“Hari ini, kita melancarkan ‘Beyond 70’ bukan sahaja untuk meraikan ulang tahun ke-70, tetapi juga untuk melihat ke hadapan dalam tempoh 70 tahun akan datang dengan visi dan kewaspadaan,” katanya semasa majlis pelancaran yang berlangsung secara fizikal dan menerusi penstriman langsung, baru-baru ini (7 Julai).
“Matlamat saya bukan sekadar membina syarikat berjaya, tetapi meninggalkan satu warisan yang berdaya tahan, supaya ia terus berkembang selepas kita tiada.”
Yeoh berkata, perubahan kepimpinan generasi dalam syarikat kini sedang berlaku secara berperingkat.
“Kepimpinan pengasas, termasuk saya sendiri, masih menetapkan hala tuju strategik, namun pengurusan harian kini semakin dipertanggungjawabkan kepada generasi baharu.
“Peralihan ini adalah disengajakan. Ini penting dan perlu,” katanya.
Yeoh turut menyampaikan mesej khusus kepada generasi muda dalam syarikat, terutamanya Gen Z, supaya terus tabah dan konsisten dalam mengejar tujuan dan makna sebenar kerjaya mereka.
“Kesan atau impak tidak berlaku sekelip mata. Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk membina makna yang sebenar.
“Ramai rakan sekerja kita telah berkhidmat dengan setia selama 30 hingga 40 tahun. Mungkin tidak setiap hari mereka merasakan ‘tujuan’ itu, terutama ketika waktu sukar. Namun kini, kisah mereka telah menjadi sebahagian daripada warisan YTL,” katanya.
Beliau turut berkongsi bagaimana pelaburan YTL sejak beberapa dekad lalu dalam sektor seperti tenaga, air, simen dan telekomunikasi, yang ketika itu dianggap konvensional namun kini menjadi asas penting kepada infrastruktur AI global.
“Melalui kerjasama kami dengan NVIDIA, kami kini berada di barisan hadapan revolusi baharu ini. Bukan kerana kami mengejar trend, tetapi kerana kami setia dengan visi jangka panjang kami,” katanya.
Yeoh turut menggariskan pencapaian terbaru YTL termasuk dinobatkan sebagai Konglomerat Malaysia Paling Cekap Urus Tadbir oleh FinanceAsia; disenaraikan pada kedudukan ke-46 dalam Top 50 Fortune 500 Asia Tenggara dan peningkatan skor FTSE4Good bagi ketiga-tiga entiti YTL iaitu YTL Corp (3.8 daripada 3.3), YTL Power (3.4 daripada 3.1) dan YTL Hospitality REIT (3.0 daripada 2.7), menunjukkan kemajuan dalam tadbir urus korporat dan kelestarian.
Yeoh menyifatkan pencapaian terkininya sebagai sesuatu yang perlu disyukuri, selepas melalui pelbagai cabaran termasuk krisis ekonomi, pandemik dan ketidaktentuan politik.
Beliau mengingatkan bahawa peranan yang dipikul dalam syarikat bukanlah hak milik mutlak, tetapi satu bentuk amanah.
“Kita bukan pemilik. Kita hanyalah pemegang amanah. Kita sekadar penjaga pada waktu ini.
“Legasi YTL telah diserahkan kepada kita, dan kita akan menyerahkannya pula kepada generasi seterusnya. Apa yang kita bina hari ini bukan sekadar untuk keuntungan atau kemegahan, tetapi demi masa depan,” katanya sambil menambah bahawa pada akhirnya, “kita datang tanpa apa-apa, dan kita juga akan pergi tanpa apa-apa.”
Beliau kemudiannya mengajak semua warga kerja YTL supaya terus melangkah dengan visi yang jelas, merenung erti sebenar ‘Beyond 70’, bukan hanya dari segi angka atau harga saham, tetapi dalam “mata wang” yang lebih mendalam iaitu kesetiaan, integriti, dan tujuan.