KOTA KINABALU: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong baru-baru ini telah mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Kesatuan Pekerja-Pekerja Hotel, Resort dan Restoran Sabah (KPPHRRS), menjadikannya menteri pertama yang hadir secara rasmi ke pejabat kesatuan tersebut.
Setiausaha Agung KPPHRRS, Mohd Shahbudin Abdullah menyifatkan lawatan itu sebagai kunjungan bersejarah bagi kesatuan dan para pekerja sektor hospitaliti di negeri ini.
Menurut Shahbudin, antara pencapaian penting yang disentuh semasa lawatan tersebut ialah penguatkuasaan pindaan Ordinan Buruh Sabah 2025 yang telah lama ditunggu-tunggu dan akhirnya diwartakan pada 1 Mei lalu.
“Sejak 2022, pekerja Sabah menantikan agar Ordinan Buruh ini disemak agar setara dengan standard di Semenanjung. Dengan kelulusan Parlimen pada Disember lalu, ia akhirnya menjadi kenyataan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, kesatuan turut memuji inisiatif Kad Pekerja MADANI yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus kepada ahli kesatuan. Bagaimanapun, mereka berharap lebih banyak vendor di Sabah dapat dilibatkan dalam pelaksanaan skim tersebut.
Dalam pertemuan itu, isu gaji minimum turut dibangkitkan, khususnya berhubung ketidakseimbangan gaji antara pekerja baharu dan pekerja lama.
“Gaji minimum memang membantu pekerja baharu, tetapi ada pekerja lama yang merasakan usaha mereka tidak dihargai kerana struktur gaji yang hampir setara. Ini menimbulkan rasa tidak adil,” ujar Shahbudin.
KPPHRRS juga merakamkan penghargaan atas pelantikan mereka sebagai anggota Majlis Penasihat Buruh Sabah (SLAC), yang dilihat sebagai pengiktirafan terhadap peranan suara pekerja industri perhotelan dan restoran.