Oleh Siti Azizah Talata
TAWAU: Pakatan Harapan (PH) sedia bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kestabilan politik di peringkat nasional dan negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kestabilan politik, baik di peringkat nasional mahupun di peringkat negeri kepentingan rakyat adalah keutamaan ketiga-tiga parti itu.
“Dalam mesyuarat perasmian kerjasama di antara PH dan BN untuk pilihan raya negeri akan datang, saya telah menyatakan hasrat untuk datang ke Tawau.
“Sebab itu saya di sini untuk mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk capai kata sepakat antara GRS, PH dan BN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan sesi perjumpaan bersama Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Sabah di Bilik Mesyuarat MAHB, Lapangan Terbang Tawau, di sini petang tadi.
Pada Jumaat lalu, PH dan BN mengumumkan kerjasama untuk pilihan raya negeri Sabah ke-17 kali ini.
Berikutan pengumuman itu, Hajiji berkata GRS akan bergerak sendiri (secara solo) pada pilihan raya tersebut.
Anwar yang juga Pengerusi PH mengingatkan ahli politik supaya tidak menggunakan sentimen anti-persekutuan untuk kepentingan mereka.
Tegas beliau, taktik sedemikian tidak menguntungkan rakyat walaupun perkara retorik menghiburkan orang ramai.
“Namun, dari segi pembangunan dan program, ia akan menjadi seperti apa yang berlaku apabila mereka mempunyai kuasa. Mereka mengabaikan kepentingan rakyat.
“Kita berbeza. Saya datang ke sini untuk mendengar perkara yang disuarakan oleh pemimpin Sabah,” katanya.
Mengenai pemilihan parti di Sabah, Anwar, yang juga Presiden PKR, menggesa ahli untuk berkempen secara hormat dan berintegriti.
Katanya, menang atau kalah pihak berkenaan perlu menerima dengan hati terbuka.