Oleh J. Evachel John
TAMBUNAN: Dikenali sebagai ‘kilang penyanyi’, Tambunan kini turut melakar nama sebagai pusat kelahiran pemuzik hebat yang bertaraf antarabangsa.



Perkembangan ini terserlah menerusi konsert tahunan House of Music Arts baru-baru ini yang menghimpunkan lebih 150 pelajar berbakat, sekali gus mencerminkan kemajuan pesat pendidikan muzik di daerah ini.
Bertemakan warna ‘maroon’ dan hitam, konsert tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan.

Menyaksikan sendiri persembahan pelajar, Jeffrey menyatakan rasa bangga terhadap usaha yang digerakkan oleh pengasas House of Music Arts, Arddley Nicholas, bersama pasukan beliau dalam menyediakan platform pendidikan muzik kepada belia Tambunan.
“Tambunan ini memang sudah dikenali sebagai ‘kilang penyanyi’. Dengan adanya House of Music Arts, saya percaya Tambunan akan menjadi ‘kilang pemuzik’ pula. Saya menyokong penuh usaha ini, kerana muzik bukan sekadar hobi, ia satu bentuk pembangunan insan,” katanya ketika berucap merasmikan konsert itu di Dewan Johnity Kg. Karanaan.
Jeffrey memuji keberanian Arddley dalam menggunakan kepakarannya untuk mengembangkan sekolah muzik pertama di Tambunan, yang ditubuhkan pada awal 1997, dengan hanya tiga pelajar. Kini, selepas 28 tahun, House of Music Arts memiliki lebih 150 pelajar.
Tambahnya, pendidikan muzik adalah penting untuk mencungkil bakat anak-anak tempatan. Jeffrey juga menyeru agar ibu bapa memanfaatkan peluang ini untuk mendidik anak-anak melalui muzik, yang merupakan medium yang dapat membina keyakinan, ketenangan emosi, dan kreativiti.
Mengenai cadangan pembinaan bangunan khas untuk pelajar berkeperluan khas oleh House of Music Arts, Jeffrey menyatakan sokongan penuhnya.
“Tiada siapa harus dipinggirkan. Anak-anak istimewa kita juga berhak mendapat ruang yang selamat dan sesuai untuk berkarya serta mengekspresikan diri mereka melalui muzik,” katanya.
Bangunan itu, jika direalisasikan, akan menjadi simbol pendekatan inklusif dalam pendidikan dan menjadikan House of Music Arts sebagai peneraju pendidikan muzik inklusif di negeri ini.
Terdahulu, Arddley dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada Jeffrey dan mengakui bahawa kehadiran beliau memberi suntikan semangat kepada warga House of Music Arts, sekali gus mencerminkan sokongan padu terhadap pembangunan seni dan pendidikan muzik di peringkat akar umbi.
“Konsert ini bukan sekadar satu persembahan. Ia adalah simbol pencapaian dan dedikasi para pelajar kami, serta sokongan luar biasa daripada ibu bapa, guru dan masyarakat setempat,” katanya, sambil menekankan kepentingan kemudahan seperti bilik ‘recital’ dan ‘theatrette’ kecil untuk memupuk keyakinan pelajar tampil di hadapan khalayak dan menimba pengalaman persembahan sebenar.
Pada tahun lalu, House of Music Arts menghantar 40 pelajar ke KK Music Festival. Kesemua mereka berjaya meraih pingat emas, perak dan gangsa bersaing dengan pelajar dari seluruh Asia.
Lebih membanggakan, sekolah ini turut mencatatkan kejayaan 100 peratus lulus dalam peperiksaan muzik bertaraf antarabangsa seperti Trinity dan RSL (Rockschool).
Arddley, yang merupakan pemenang kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM23), menyuarakan harapan agar pencapaian cemerlang para pelajar ini dapat diiktiraf dalam sistem kokurikulum sekolah kebangsaan, sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan bakat dan potensi anak-anak dalam bidang muzik.
Kemuncak konsert tersebut diserikan dengan kehadiran penyanyi popular Sabah, Dabra Sia, yang terkenal dengan lagu “Hanya Di Sabah”.

Kehadiran Dabra memberi inspirasi kepada pelajar, membuktikan bahawa kejayaan dalam bidang seni boleh dicapai walaupun bermula dari daerah kecil seperti Tambunan.
Persembahan pelajar dari seawal usia tiga tahun hingga lebih 60 tahun memukau kira-kira 400 penonton dengan gabungan instrumen moden dan tradisional, satu pementasan yang membuktikan bahawa muzik merentas generasi, latar belakang dan usia.
Kejayaan konsert itu juga menyerlahkan bakat pelajar House of Music Arts yang telah diasah dengan latihan dan dedikasi tinggi bagi melahirkan ikon seni masa depan dari Tambunan.