HomeUtamaMahasiswa UMS sahut cabaran gaya hidup sihat dengan kempen #MoveMunchBalance

Mahasiswa UMS sahut cabaran gaya hidup sihat dengan kempen #MoveMunchBalance

Read Time:2 Minute, 4 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Para pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini menyahut cabaran untuk meningkatkan tahap kesihatan mereka menerusi satu kempen yang menggalakkan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti fizikal seminggu serta pengambilan lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.

Kempen selama enam bulan yang dikenali sebagai #MoveMunchBalance itu dilancarkan pada Rabu (30 April) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) sebagai usaha meningkatkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa.

Usaha ini turut bertujuan menangani hasil kajian awal yang dijalankan pada Mac lalu, yang mendapati majoriti pelajar memahami kepentingan pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal, namun tidak mengamalkannya dalam kehidupan harian.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor yang merasmikan kempen ini berkata, gaya hidup sihat sangat penting dalam mengurangkan ketidakhadiran pelajar dan staf serta mengekalkan tahap produktiviti.

“Kementerian Pengajian Tinggi juga menggalakkan amalan berjalan 10,000 langkah sehari. Di UMS, kita ada program ‘walk and talk’ setiap petang Rabu yang membolehkan pensyarah, staf dan pelajar berbincang sambil berjalan, dan saya harap ia dapat diteruskan.

“UMS mempunyai banyak denai untuk aktiviti berjalan kaki, malah satu laluan baharu telah dibuka baru-baru ini. UMS adalah ruang selamat untuk aktiviti fizikal,” katanya sambil menambah bahawa beliau sendiri kerap berjalan menaiki enam tingkat ke pejabatnya di Bangunan Canselori untuk kekal cergas.

Kempen ini dianjurkan dengan kerjasama Unit Penyelidikan Komunikasi untuk Pembangunan (C4D) UMS-UNICEF yang berpangkalan di fakulti tersebut dan Cawangan Promosi Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah. Ia juga selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut Kasim kerjasama strategik yang dijalinkan disifatkan mampu meningkatkan hasil kesihatan dan berpotensi diperluaskan ke seluruh kampus serta cawangan UMS di Labuan dan Sandakan.

Ketua Unit Penyelidikan C4D UMS-UNICEF, Dr. Latif Lai, menjelaskan bahawa “Move” merujuk kepada keperluan untuk melakukan sekurang-kurangnya 150 minit senaman sederhana setiap minggu.

“Munch” pula bermaksud makan lima hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari, dan menjadikan amalan ini sebagai tabiat sepanjang hayat.

Sementara itu, “Balance” merujuk kepada pematuhan saranan Pinggan Sihat Malaysia yang menggalakkan separuh pinggan diisi dengan sayur-sayuran dan buah-buahan, manakala suku pinggan lagi masing-masing diisi dengan sumber protein dan karbohidrat.

Kira-kira 200 pelajar mengambil bahagian dalam pelancaran kempen, yang turut menyaksikan Naib Canselor menyertai mereka dalam rutin senaman, sebelum mula berjalan 10,000 langkah.

Hadir sama Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Profesor Dr. Asmady Idris; Ketua Cawangan Promosi Kesihatan Nor Saadah Omar; Ketua Cawangan Pemakanan Jabatan Kesihatan Sabah Shahrulnaz Norhazli Nazri; dan ketua pelajar Mohamad Hafiezan Fiezal Haron.

RELATED ARTICLES
Utama

Surau, Masjid berpotensi sebagai destinasi dakwah dan pelancongan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular