KUCHING : Pelari pecut wanita Sabah, Nur Aishah Rofina Aling dinobatkan sebagai Ratu Pecut Sukan Borneo selepas mempamerkan larian bertenaga untuk menjuarai acara 100 meter wanita yang berlangsung di sini pada Khamis.
Beliau yang turut dikenali sebagai ‘Gadis Turbo’ turut menambah koleksi emas apabila menerajui kuartet negeri Sabah untuk memenangi acara 4×100 meter wanita bersama tiga lagi rakan sepasukan Hizillawanty Jamain; Siti Norjahera Beliamor dan Chelsea Cassiopea Evali Bopulas.

Kontinjen turut meraih pingat emas menerusi acara lompat tinggi lelaki yang dimenangi Farrell Glen seterusnya menewaskan rakan sepasukan dari Sabah Mohamad Eizlan Dahalan dan Reynolds Jc Majin.
Selain itu, renang menyumbang tiga emas lagi menerusi Lee Xue Wen (100 meter kuak dada wanita) serta dua daripada Chu Xin Ying (200 meter gaya bebas dan meter kuak kupu-kupu wanita).
Bagi pingat Perak, Sabah berjaya meraih tujuh pingat menerusi acara lompat tinggi lelaki yang dimenangi Mohamad Eizlan Dahalan; Earl Isaac Mitzler Fredolin (lontar peluru lelaki); Hizillawanty Jamain (1,500 meter wanita) dan Samantha Mae Godfrey Binting (lompat bergalah wanita).
Manakala bagi acara renang, satu pingat perak diraih menerusi acara 4×100 rampaian campuran yang diwakili Laura Yen Nie Lee; Emmanuel Yung Ming Loh; Xin Ying Chu dan Samuel Ching Cheng Ng.
Pingat perak Sabah turut disumbang menerusi acara memanah yang dimenangi Anuar Muhamad menerusi acara individu lelaki barebow 50 meter dan Carolyn Hui Yin Chye (individu wanita recurve 70 meter).
Sementara itu bagi pingat gangsa, Sabah turut berjaya meraih 13 pingat menerusi acara 100 meter lelaki; 4 x 100 meter lelaki dan lompat tinggi lelaki.
Manakala lima lagi pingat gangsa disumbang menerusi acara renang; satu memanah dan empat lagi menerusi acara Lawn Bowls. – Chronivo