Oleh Sitti Nor Azizah Talata
SEMPORNA: Taktik sindiket penyeludupan minyak bersubsidi yang menjadikan rumah atas air sebagai ‘stor’ penyimpanan akhirnya terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menggempur lokasi itu, semalam.

Serbuan kira-kira jam 6 petang di sekitar Kampung Batu dilakukan sepasukan anggota Unit Gempur Marin (Ungerin) selepas menerima maklumat awam dan risikan mengenai kegiatan penyeludupan minyak ke negara jiran.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pemeriksaan menyeluruh yang dijalankan berjaya menemui ratusan tong berisi bahan api serta beberapa bot dipercayai digunakan untuk kegiatan haram itu.
“Hasil pemeriksaan menemukan 327 jerekin berisi petrol selain tiga bot yang disyaki digunakan sebagai pengangkutan penyeludupan.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM252,075.25 dan siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nazri menegaskan, kerjasama masyarakat amat penting dalam menyalurkan maklumat agar aktiviti yang menjejaskan keselamatan serta ekonomi negara ini dapat dibanteras sepenuhnya.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiatkan operasi membanteras jenayah penyeludupan bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara,” katanya.