HomeUtamaDua pesara kerajaan didakwa atas tiga pertuduhan rasuah

Dua pesara kerajaan didakwa atas tiga pertuduhan rasuah

Read Time:1 Minute, 27 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Dua pesara kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi menuntut bayaran kerja pembersihan kawasan dan penanaman projek pertanian yang tidak dilaksanakan pada tahun 2021.

Tertuduh, Abdul Jaya Geddek, 61, dan Utok Hamsaleh, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa menggunakan Pesanan Kerajaan No. AB 820617 bernilai RM2,500 dan borang tuntutan pembayaran atas nama seorang pemohon, Kadir Lamara, bagi projek pembersihan kawasan dan penanaman kelapa tacunan. Tuntutan itu didakwa mengandungi pernyataan palsu kerana kerja berkenaan tidak pernah dijalankan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka sekali lagi didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu Pesanan Kerajaan No. AB 820615 dan tuntutan pembayaran RM2,500 atas nama Chin Chee Hen, kononnya bagi tujuan sama.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa menggunakan Pesanan Kerajaan No. AB 820605 serta tuntutan pembayaran RM1,250 atas nama Mohd Safari Nilwan bagi projek pembersihan kawasan dan penanaman nangka madu J33, yang juga tidak pernah dilaksanakan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan pada Julai 2021 di Pejabat Pertanian Daerah Kunak, dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Hakim membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM1,000 serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Sabrina Ali, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mark Rosaidey Mohd Amin.

Mahkamah menetapkan 14 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

RELATED ARTICLES
Utama

Rumah atas air jadi stor minyak seludup digempur PPM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular