KOTA KINABALU: Golongan muda terpelajar hendaklah memainkan peranan sebagai agen perubahan khususnya kepada masyarakat luar bandar yang masih terpinggir, kata Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Katanya, generasi belia dan pelajar institusi pengajian tinggi sewajarnya menggalas tanggungjawab sosial serta berkongsi pandangan semasa kepada rakyat pelbagai lapisan di kawasan tersebut.
Beliau menyatakan demikian dalam sesi ramah mesra Program Santai Kalaga bersama belia dan penuntut universiti daripada daerah Tongod di Stadium Likas, semalam.
Golongan itu juga katanya, boleh memberi pandangan positif kepada pemimpin setempat selain mengupas isu-isu semasa mengenai masa depan pembangunan.
Masiung mengingatkan agar integrasi pelajar tidak disalah guna kumpulan tertentu untuk memenuhi agenda politik ekstrim seperti menyertai perhimpunan haram.
Masiung merujuk beberapa insiden di ibu negeri baru-baru ini yang melibatkan pelajar universiti dipergunakan kumpulan berhaluan kiri menyertai tunjuk perasaan haram.
Tegasnya, golongan pelajar dan belia yang bersekongkol dengan orang politik untuk tujuan negatif hanya akan merugikan masa depan anak muda yang mengejar cita-cita.
Sementara itu, Kejohanan Bola Sepak Sumbangsih turut diadakan sempena program itu di mana enam pasukan termasuk dua pasukan wanita turut beraksi.