KOTA KINABALU : Sebanyak 11 kenderaan mewah pelbagai jenama termasuk Bentley Continental, Lexus, Range Rover, Mercedes Benz, Ford Mustang dan BMW dikenakan tindakan menerusi Operasi Khas ‘Ops Luxury’.
Operasi yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah itu telah dilaksanakan sejak Jun hingga September lalu.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, operasi itu menumpukan kepada pemilik kenderaan mewah yang gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tidak memiliki perlindungan insurans sah.

“Antara tindakan yang diambil termasuk mengeluarkan saman serta menyita kenderaan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Tindakan sita dilakukan bagi mengelakkan kesalahan sama dilakukan secara berulang,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Katanya, berdasarkan pecahan daerah, tujuh kenderaan disita di Kota Kinabalu, dua di Tawau, satu di Sandakan dan satu lagi di Beaufort.
Beliau berkata, pemilik kenderaan di Sabah perlu memastikan dokumen LKM serta insurans kenderaan sentiasa sah bagi mengelakkan tindakan undang-undang, selain menjamin perlindungan sekiranya berlaku kemalangan.

“JPJ Sabah akan meneruskan penguatkuasaan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan. Pandu cermat, sampai selamat,” katanya. – Chronivo