HomeIsu tempatanUMS anjur persidangan antarabangsa perkasa pendidikan digital pribumi

UMS anjur persidangan antarabangsa perkasa pendidikan digital pribumi

Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU : Persidangan Antarabangsa Pendidikan Digital Pribumi (ICRIDEC) 2025 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi platform terbaik bagi membincangkan peranan teknologi digital dalam memperkasa komuniti luar bandar dan pribumi di era transformasi digital.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, persidangan yang turut mendapat kerjasama daripada Institut Aminudin Baki (IAB) itu bertujuan membincangkan cabaran serta penyelesaian inovatif dalam memastikan revolusi digital mampu memangkin pemerkasaan ekonomi untuk komuniti luar bandar serta pribumi. 

”Antara yang perlu diberi perhatian ialah konsep ‘Kedaulatan Digital’ yang merujuk kepada hak komuniti pribumi untuk memiliki, mengawal, dan melindungi data digital mereka.

“Teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI) boleh dimanfaatkan untuk memelihara warisan budaya, termasuk membangunkan tutor AI bagi mengajar bahasa yang diancam kepupusan serta mendokumentasikan sejarah lisan.

“Justeru itu, persidangan ini membuka peluang terhadap perbincangan peranan teknologi baharu seperti AI dalam memelihara bahasa ibunda dan sejarah lisan agar terus kekal untuk generasi yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan tersebut di Dewan Resital, UMS.

Tambahnya lagi, persidangan ini turut menekankan kepimpinan berwawasan yang digelar ‘Digital Weaver’, iaitu pemimpin yang mampu menggabungkan nilai warisan komuniti dengan teknologi moden.

“Persidangan ini adalah titik pertemuan kepakaran global dan kebijaksanaan tempatan, untuk itu semua peserta harus memanfaatkan peluang ini untuk mengadakan perbincangan dan pembentangan yang kemudiannya mampu memangkin kepada satu tindakan dasar baharu serta pelaksanaan program perintis di lapangan.

“UMS bukan sekadar penganjur, tetapi rakan strategik dan makmal hidup untuk menguji dan merealisasikan idea yang terhasil daripada persidangan ini,” katanya.

Katanya, persidangan ICRIDEC itu diharap akan menghasilkan sesuatu yang akan diterjemahkan kepada dasar baharu, penerbitan berimpak tinggi dan program perintis yang memberi kesan nyata kepada komuniti.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan seramai 127 orang peserta terdiri daripada penyelidik, pendidik, pembuat dasar dan pemimpin komuniti, serta 167 orang pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) UMS yang turut menyertai sebagai sebahagian daripada pembelajaran berasaskan pengalaman.

Hadir sama pada majlis tersebut Dekan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, Prof. Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh; Pengarah Institut Aminuddin Baki Sabah, Khaziyati Osman; Pengarah Program ICRIDEC (UMS), Dr. Connie Cassy Ompok; dan Pengarah Program ICRIDEC (IAB), Darusalam Bohel Nehemia Pantulusang.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS bantu ringankan persiapan pelajar STPM ke menara gading

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular