KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menepis keras dakwaan UMNO Sabah yang melabel Kerajaan Negeri sebagai “pengkhianat terbesar kepada rakyat” susulan penyebaran video perbualan antara Albert Tei bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr.Jeffrey Kitingan.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Barhul Sahibu, menyifatkan tuduhan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman sebagai fitnah politik murahan yang langsung tidak berasas.
“UMNO Sabah cuba menangguk di air keruh. Video tular tanpa bukti sahih dijadikan modal politik. Kalau benar ada bukti, bawa ke pihak berkuasa. Jangan hanya pandai menjerit di media,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Rosman yang mendakwa video berkenaan mendedahkan “najis rasuah” dalam jentera GRS.
Beliau turut menuduh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berdiam diri kerana “takut seluruh tembok politik GRS runtuh bersama kepimpinannya”.
Barhul menegaskan, UMNO tidak berhak bercakap soal integriti kerana pimpinan mereka sendiri masih bergelut dengan isu rasuah.
“Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin masih berdepan kes rasuah yang belum selesai di mahkamah. Bukankah itu bukti nyata siapa sebenarnya liabiliti politik? Jangan cuba jadi juara moral, kalau rumah sendiri penuh lumpur,” katanya.
Menurutnya, serangan peribadi terhadap Hajiji hanya helah untuk menutup kelemahan UMNO selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
“Hajiji fokus pada pembangunan dan kesejahteraan rakyat. UMNO boleh bersandiwara, tetapi GRS bekerja untuk rakyat. Sabah tidak perlukan parti yang hidup atas sensasi, tetapi kepimpinan yang jelas membawa hala tuju negeri,” ujarnya.
Barhul menambah, rakyat Sabah sudah matang menilai dan tidak mudah termakan propaganda murahan parti pembangkang.
“UMNO boleh ulang seribu kali skrip lapuk, tapi rekod Bung Moktar sendiri cukup membuktikan siapa yang gagal menjaga maruah rakyat. Itu ibarat telunjuk lurus, kelingking berkait,” katanya.