HomePendapatMembudayakan Model Peranan Positif Kunci Tangani Isu Buli

Membudayakan Model Peranan Positif Kunci Tangani Isu Buli

Read Time:2 Minute, 49 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

KUALA LUMPUR : Isu buli kembali menjadi perhatian nasional dengan kemarahan dan keresahan rakyat yang masih tinggi. Selain aspek perundangan dan hukuman, usaha membina serta membudayakan role model positif wajar diberi perhatian serius bagi menangani gejala ini secara menyeluruh.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mempengerusikan Mesyuarat Mengenai Usaha Memperkukuh Mekanisme Pencegahan Buli.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), mesyuarat ini dihadiri pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan, Jabatan Peguam Negara serta SUHAKAM.

Antara hasil mesyuarat termasuk cadangan menggubal Rang Undang-Undang Tribunal Anti-Buli, memperkukuh kerangka undang-undang dengan penekanan kepada pemulihan dan perlindungan kanak-kanak serta pendekatan whole-of-government bagi membendung buli di sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja, komuniti dan ruang maya.

Menteri berkenaan juga menjelaskan tribunal menawarkan proses lebih pantas berbanding mahkamah. Hukuman pula tidak terhad kepada penjara semata-mata, tetapi boleh melibatkan denda, kursus dan ganti rugi.

Walaupun langkah undang-undang penting, aspek pembangunan sahsiah generasi muda tidak boleh diketepikan. Kelakuan buli sering dipengaruhi faktor luar sekolah seperti rakan sebaya, role model dan media sosial. Dalam dunia digital hari ini, ramai anak muda terdedah kepada personaliti popular tetapi dangkal, yang mengejar sensasi tanpa menonjolkan nilai positif. Akibatnya, ramai mengikut jejak mereka semata-mata untuk mengejar populariti.

Kerajaan perlu menggandakan usaha menonjolkan role model masyarakat yang positif. Malangnya, lambakan personaliti media sosial menyebabkan tokoh sebenar yang berintegriti tenggelam. Negara seolah-olah ketandusan Model peranan yang boleh dijadikan teladan.

Perubahan nilai masyarakat juga memberi cabaran baharu. Pada 1990-an, artis lelaki berambut panjang tidak dibenarkan muncul di televisyen sehingga berlaku insiden pemotongan rambut artis kumpulan Search dan Wings oleh Menteri Penerangan pada 1992. Hari ini, garis panduan lebih longgar. Maka, kerajaan perlu mengemas kini garis panduan agar hanya individu sesuai diberi ruang di platform arus perdana seperti RTM, TV3 atau Astro, sementara media sosial kekal di luar kawalan.

Selain kawalan, kerajaan juga perlu membudayakan penghargaan kepada model peranan “role model‘ sejati. Malangnya, anugerah dan pengiktirafan sedia ada tidak mencerminkan nilai yang sepatutnya.

Anugerah Pingat Hang Tuah misalnya, diperkenalkan sejak 1960 untuk menghargai keberanian kanak-kanak. Pada 2024, seorang pelajar berusia 14 tahun, Muhammad Asri Rosli, menerima anugerah ini kerana menyelamatkan rakan daripada renjatan elektrik. Namun, hadiah yang diberi hanya RM5,000 — jumlah yang kecil dan kekal sejak bertahun-tahun. Jumlah itu bukan sahaja meremehkan keberanian luar biasa kanak-kanak, malah merendahkan martabat anugerah itu sendiri.

Contoh lain ialah Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.), pingat tertinggi negara yang dianugerahkan kepada rakyat Malaysia atas keberanian luar biasa, termasuk yang mengorbankan nyawa. Sejak 2009, elaun bulanan penerima hanya RM2,000 dengan penghargaan one-off RM20,000 kepada keluarga jika penerima meninggal dunia. Jumlah ini sangat kecil dan tidak setimpal dengan pengorbanan mereka.

Lebih mengecewakan, sepanjang lebih 60 tahun, hanya 29 individu menerima Pingat S.P. — dengan lima penerima masih hidup hari ini. Tidak wajar elaun bulanan mereka tidak ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya RM20,000 hingga RM30,000, selaras dengan keunggulan pingat itu. Malah, penghargaan one-off wajar dinaikkan kepada RM1 juta, bukannya hanya RM20,000.

Mengangkat martabat Model peranan “role model” positif melalui garis panduan, pengiktirafan serta penghargaan yang setimpal adalah jalan penting dalam membendung budaya buli. Jika masyarakat jelas melihat siapa yang wajar dijadikan teladan, budaya negatif yang menular di ruang maya akan lebih mudah ditangani.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah juara Debat Generasi MADANI, Hajiji zahir rasa bangga

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular