HomeUtamaKes komersial Sabah terus meningkat, catat kerugian melebihi RM576 juta

Kes komersial Sabah terus meningkat, catat kerugian melebihi RM576 juta

Read Time:2 Minute, 21 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Jenayah komersial di Sabah terus menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Sabah merekodkan sebanyak 7,264 kes dengan kerugian keseluruhan melebihi RM576.7 juta sejak Januari 2023 hingga Ogos tahun ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rani Alias berkata, berdasarkan statistik yang diperoleh, tahun 2023 sahaja menyaksikan sebanyak 2,474 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian berjumlah RM83,491,089.63.

“Angka itu meningkat dengan ketara pada tahun 2024 apabila sebanyak 2,733 kes direkodkan melibatkan kerugian RM279,521,863.97. Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, JSJK mencatatkan sebanyak 2,057 kes dengan kerugian bernilai RM213,771,278.32.

“Secara keseluruhannya, jumlah kerugian akibat jenayah komersial sepanjang tempoh tiga tahun mencecah RM576,784,231.92, sekali gus memberi gambaran serius mengenai cabaran keselamatan siber, penipuan kewangan dan pelbagai bentuk jenayah komersil lain,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Katanya, peningkatan kes ini turut dipengaruhi oleh pelbagai taktik penipuan dalam talian yang semakin sofistikated, termasuk pelaburan tidak wujud, scam panggilan telefon serta jenayah berkaitan perbankan digital.

Abd Rani mengingatkan cabaran jenayah komersial masih belum selesai kerana modus operandi penjenayah semakin kreatif dan canggih. Semua warga PDRM perlu berganding bahu dan bekerjasama rapat dengan JSJK dalam memerangi jenayah terbabit.

“Tiga pendekatan utama yang perlu diberi tumpuan ialah kerjasama berpasukan, JSJK memerlukan integrasi maklumat dari semua peringkat, daripada anggota polis di balai yang pertama menerima laporan sehinggalah kepada pegawai penyiasat khusus. Setiap maklumat, walau kecil, amat penting.

“Kedua, peningkatan ilmu. Saya mengarahkan semua pegawai kanan dan anggota untuk sentiasa menambah ilmu dan kemahiran dalam bidang siasatan digital. Ikutilah kursus-kursus yang disediakan dan jadilah polis yang progresif serta celik teknologi.

“Ketiga, pendekatan pencegahan. Teruskan dan perkukuhkan usaha pencegahan. Libatkan komuniti, pihak bank, syarikat telekomunikasi dan platform e-dagang untuk bekerjasama memutuskan rangkaian jenayah ini. Perangi penipuan dengan pengetahuan,” katanya.

Beliau menegaskan, hanya dengan strategi bersepadu yang merangkumi penguatkuasaan, pendidikan dan pencegahan, jenayah komersial dapat dibanteras secara efektif di negeri ini.

“Pemilihan JSJK sebagai penggerak utama perhimpunan amat signifikan dengan landskap ancaman jenayah semasa yang semakin berubah bentuk. Ia menunjukkan komitmen JSJK untuk sentiasa berada di barisan hadapan dan memberikan kesedaran kepada seluruh warga PDRM Kontinjen Sabah tentang kepentingan memerangi jenayah komersial,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rani turut menyeru kepada orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam talian supaya segera menghubungi talian hotline 997 bagi membolehkan tindakan pantas diambil untuk membekukan akaun suspek dalam tempoh kritikal atau golden hour.

Katanya, talian tersebut dikendalikan oleh National Scam Response Centre (NSRC) atau Pusat Respons Scam Nasional yang diwujudkan kerajaan khusus bagi menangani kes penipuan dalam talian.

“NSRC berperanan menerima laporan scam, menyalurkan maklumat kepada bank dan agensi penguat kuasa untuk tindakan segera, membantu membekukan akaun suspek serta mengkoordinasi operasi bersama agensi lain,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

TUDM laksana latihan carilamat SAREX AR 2-25 di Pantai Timur Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular