PUTRAJAYA : Pasukan debat Negeri Sabah berjaya mengharumkan nama negeri di pentas kebangsaan apabila dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025, selepas menewaskan pasukan handalan Selangor di peringkat akhir.
Pertandingan penuh sengit itu menyaksikan kedua-dua pasukan tampil dengan hujah bernas dan berkeyakinan tinggi.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang turut hadir menyaksikan pertandingan itu berkata beliau amat berbangga dengan persembahan pelajar yang disifatkan luar biasa.
“Anak-anak ini memang hebat. Pasukan Sabah berjaya menguasai pentas akhir dan muncul juara, namun pasukan Selangor juga tidak kurang hebat kerana telah memberikan yang terbaik,” katanya.
Menurutnya, pertandingan debat ini mewajibkan penyertaan murid pelbagai kaum dan etnik, sekali gus mencerminkan aspirasi Generasi MADANI yang menekankan nilai hormat, keyakinan serta semangat perpaduan.
Sabah diwakili beberapa pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau iaitu Noraeezma Mada Ali Joharie; Anas Humairah Suwardi; Anis Malaeka Husni dan Nir Safa Natasya Aaharuddin.
Dua lagi pelajar adalah Nur Aisyah Jasrin dan Siti Ellysha Jaimid masing-masing dari Sekolah Menengah (SM) Sains Sabah .- Chronivo / FOTO Faidah Y.