Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Komuniti perniagaan di Sabah menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor atas kejayaan memulihkan ekonomi, meningkatkan hasil negeri serta mengekalkan kestabilan politik.
Wakil Sabah United Chinese Chambers of Commerce (SUCCC) dan Kota Kinabalu Chinese Chamber of Commerce and Industry (KKCCCI), Datuk Michael Lui, berkata ekonomi Sabah menunjukkan pemulihan konsisten selepas pandemik COVID-19 dengan pertumbuhan positif 3.9 peratus pada 2022, 1.3 peratus pada 2023 dan 1.1 peratus pada 2024.
“Ekonomi Sabah kini kembali kepada RM84.3 bilion, manakala hasil negeri melonjak hampir RM7 bilion dua tahun berturut-turut serta rizab kewangan meningkat kepada RM8.6 bilion pada 2024 berbanding hanya RM3.2 bilion pada 2019 — peningkatan lebih 160 peratus yang mencerminkan kecekapan pengurusan kewangan,” katanya ketika berucap di Majlis Malam Mesra Ketua Menteri Bersama Masyarakat Tonghua, Sekolah dan Badan Keagamaan Bukan Islam di Dewan Hakka, malam Isnin.
Michael turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas kelulusan tanah pendidikan di SJK(C) Chung Hwa Likas dan SJK(C) Chung Hwa Kota Kinabalu, yang dianggap bukti keprihatinan kerajaan terhadap pendidikan vernakular.
Beliau berkata kerajaan berjaya menarik pelaburan berimpak tinggi termasuk Kumpulan Kibing dan Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan.
Berucap di majlis yang sama, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri T.C. Goh menyifatkan Hajiji sebagai pemimpin rendah diri, mudah didekati dan sentiasa menunaikan komitmen terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat.
“Keprihatinan Ketua Menteri jelas terbukti menerusi sokongan berterusan Kerajaan Negeri terhadap penganjuran acara kebudayaan, termasuk Pesta Perahu Naga Antarabangsa dengan peruntukan yang meningkat setiap tahun.
“Ini satu perkara yang unik di Malaysia. Sejak FCAS mengambil alih penganjuran Pesta Perahu Naga Antarabangsa, Ketua Menteri sentiasa memberi sokongan tanpa gagal, bahkan peruntukan yang diberikan juga meningkat saban tahun,” katanya.
Beliau turut mengenang pengalaman Sabah menjadi tuan rumah Pesta Kebudayaan Cina Malaysia pada 2023, apabila kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 bagi menjayakan acara berkenaan.
Menurut Goh, keharmonian dan kesejahteraan yang dikecapi rakyat negeri ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak serta sokongan padu masyarakat terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
Beliau menyeru komuniti Tionghoa di Sabah agar terus menghargai dan menyokong kepimpinan Ketua Menteri untuk memastikan pembangunan ekonomi dan kewangan negeri terus diperkukuh demi kesejahteraan bersama.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Malaysia–China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau, turut menzahirkan keyakinan bahawa komuniti perniagaan Cina akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri.
“Peruntukan Kerajaan Negeri kepada komuniti Cina, badan agama bukan Islam serta sekolah vernakular meningkat mencecah RM70 juta tahun ini. Ini membuktikan kecekapan tadbir urus serta wawasan luas kerajaan negeri,” katanya.