HomeUtamaDua warga China ditahan hantar e-mel ugutan bom pesawat

Dua warga China ditahan hantar e-mel ugutan bom pesawat

Read Time:1 Minute, 27 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Polis menahan sepasang suami isteri warganegara China selepas dipercayai menghantar emel berbaur ugutan dengan mendakwa terdapat bom dalam sebuah pesawat yang dijadual berlepas dari Tawau ke Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek berusia 28 (wanita) dan 29 tahun (lelaki) itu diberkas di sebuah bilik hotel di Semporna kira-kira jam 8 malam hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Tawau dengan kerjasama IPD Semporna.

“Hasil siasatan mendapati salah seorang daripada suspek mengaku menghantar mesej ugutan palsu tersebut melalui aplikasi rasmi sebuah syarikat penerbangan dengan alasan mahu mendapatkan respon segera untuk menukar tempat duduk dalam penerbangan mereka ke Kuala Lumpur sebelum transit ke Beijing.

“Suspek mendakwa terbaca di sebuah portal di China bahawa kenyataan berbentuk ancaman boleh mempercepatkan maklum balas daripada syarikat penerbangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, emel ancaman itu dihantar ke ibu pejabat syarikat penerbangan berkenaan di Kuala Lumpur pada 20 September lalu kira-kira jam 11.30 malam, sebelum dimaklumkan kepada pihak keselamatan syarikat tersebut di Lapangan Terbang Tawau.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek yang digunakan untuk menghantar ugutan itu.

“Kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Pihak Konsulat China juga telah dimaklumkan mengenai penahanan ini,” jelasnya.

Beliau menegaskan polis memandang serius setiap ancaman keselamatan yang boleh menimbulkan panik, khususnya melibatkan penerbangan awam.

“Pasukan keselamatan sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan di lapangan terbang bagi memastikan keselamatan penumpang, kakitangan dan kelancaran operasi sentiasa terjamin.

“Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan teknologi dengan menyebarkan kandungan palsu, jelik atau berbaur ancaman kerana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

5,000 biasiswa disedia, pelajar boleh mohon TPNS, BUDI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular