Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Khas Rasuah hari ini membenarkan permohonan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah yang berdepan pertuduhan rasuah untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa mereka buat sementara waktu bagi tujuan urusan kerja.
Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan Adun Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, memohon pasport tersebut dikembalikan kepada mereka selama empat bulan.
Hakim Jason Juga memerintahkan Dr Yusof dan Andi untuk menyerahkan semula pasport mereka kepada mahkamah selewat-lewatnya pada 23 Jan 2026.
Permohonan itu dibuat melalui peguam mereka, Datuk Ram Singh.
“Mereka memerlukan pasport untuk urusan rasmi ke luar negara mengikut tuntutan kerja. Mereka juga akan memaklumkan pegawai penyiasat mengenai keberadaan mereka,” kata Ram.
Terdahulu Ram turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah larangan (gag order) terhadap ahli perniagaan Datuk Tei Jiann Cheing, atau lebih dikenali sebagai Albert Tei, bagi menghalangnya daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh memalukan atau menjatuhkan maruah pihak tertentu.
“Saya percaya Datuk Albert akan mengadakan sidang media selepas prosiding ini. Kami tidak membantah sekiranya beliau mahu berbuat demikian, kecuali jika digunakan untuk memalukan anak guam saya, Ketua Menteri Sabah atau mana-mana pihak berkaitan.
“Beliau pernah mengadakan sidang media selepas prosiding sebelum ini. Saya memohon mahkamah mengeluarkan perintah larangan agar tiada pihak dihina atau dimalukan. Saya juga percaya terdapat siasatan yang sedang berjalan berhubung kenyataan beliau selepas prosiding lalu,” katanya.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan perintah larangan itu.
“Bagi permohonan perintah larangan, saya tidak akan mengeluarkan apa-apa perintah selagi ia tidak menjejaskan perjalanan perbicaraan di mahkamah ini,” kata hakim.
Mahkamah juga menetapkan 21 Oktober untuk pengurusan kes praperbicaraan sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan bagi kedua-dua tertuduh.
Dr Yusof, 69, didakwa menerima RM200,000 daripada Tei pada 6 Mac tahun lalu di Rooftop Bar & Grill, Hotel Hilton, Kota Kinabalu. Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan lesen Nusa Kini Sdn Bhd.
Andi, 44, pula didakwa menerima RM150,000 daripada Tei pada 12 Mei tahun lalu di kediamannya di Jalan Pantai, Sembulan. Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk memproses permohonan lesen penerokaan Sinaran Hayat Sdn Bhd.
Sementara itu, mahkamah menetapkan 24 Oktober untuk pengurusan kes praperbicaraan Tei, yang berdepan dua pertuduhan memberi rasuah kepada kedua-dua Adun berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip dan Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi.
Ram bersama Datin Jahara Patimbangi, Elhanan James dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi mewakili kedua-dua Adun.
Tei pula diwakili peguam Edward Paul, Batholomew Jingulam dan Jul Hamri Jumhani.