Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Seramai 31 pengamal media di Sabah menamatkan Kursus Pelaporan dan Analisis Pilihan Raya Negeri yang dianjurkan bersama oleh Kerajaan Negeri, Malaysian Press Institute (MPI) dan Persatuan Wartawan Sabah.
Kursus dua hari itu berakhir hari ini, bertujuan memperkukuh peranan media dalam memastikan liputan pilihan raya lebih berkesan, objektif dan berimbang.
Pengurus Kanan Pengurusan Projek MPI, Norhafiza Kamaludin berkata, pilihan raya bukan sekadar proses peralihan kuasa, sebaliknya manifestasi hak rakyat untuk menentukan masa depan negara dan negeri. Dalam konteks Sabah yang memiliki kepelbagaian etnik, geografi dan sosioekonomi yang unik, pengamal media berdepan cabaran lebih besar dalam menyampaikan maklumat yang tepat, adil dan bertanggungjawab.
“Hasil daripada bengkel itu, peserta memperoleh kefahaman yang lebih mendalam tentang keseluruhan proses pilihan raya negeri Sabah serta menyedari garis panduan dan prinsip etika kewartawanan yang perlu dipatuhi semasa membuat liputan pilihan raya,” katanya.
Tambahnya lagi, kursus ini dikendalikan oleh Dr. G Manimaran, yang mempunyai lebih tiga dekad pengalaman dalam media dan pengurusan komunikasi korporat.
Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Pendidikan, Institut Integriti Malaysia dan SPRM, serta berpengalaman luas dalam kewartawanan politik pilihan raya,
konsumerisme dan isu buruh. Sejak 2013, beliau aktif dalam pengurusan komunikasi strategik kerajaan dan kini berperanan sebagai perunding media, penulis dan penyunting, dengan karya buku termasuk Pilihan Raya Demokrasi Malaysia (2021), Prospect of Electoral Reforms in Malaysia (2022) dan Magis Menjuarai Pilihan Raya: Kepimpinan Adenan Satem.
Selain itu, peserta juga menerima pendedahan khusus mengenai “Proses, Undang-undang & Perkara Baharu Dalam PRN Sabah Ke-17” daripada tenaga pengajar Nik Aminudin Nik Shahar Shah dan Nomi Juliana Redzuan Min daripada Akademi Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.
Bengkel ini turut meningkatkan keupayaan peserta untuk melaporkan isu pilihan raya secara objektif dan berimbang, bebas daripada pengaruh tidak wajar, serta membolehkan mereka mengenal pasti dan menangani risiko penyebaran maklumat palsu dan manipulasi persepsi awam.
Norhafiza menambah, bengkel ini juga mewujudkan jaringan komunikasi antara media dan agensi berkaitan bagi memastikan penyaluran maklumat rasmi lebih cepat dan tepat, termasuk penggunaan peralatan dan perisian asas untuk penyuntingan dan penyiaran.
Beliau menekankan bahawa kursus seperti ini penting bukan sahaja untuk memperkasakan pengamal media, pegawai penerangan dan komunikasi, tetapi juga sebagai platform strategik untuk memahami perjalanan demokrasi pilihan raya secara menyeluruh dan holistik di negeri Sabah.