HomeUtamaSurau berinspirasikan Songkok Recca, tarikan baharu di Tuaran

Surau berinspirasikan Songkok Recca, tarikan baharu di Tuaran

Read Time:1 Minute, 52 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

TUARAN : Sebuah surau yang membawa identiti unik komuniti Bugis di Sabah, Surau Abu Hassan Ar-Raudhah kini siap sepenuhnya dibina dan menjadi mercu tanda baharu yang bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadah, tetapi juga pusat tarikan budaya dan komuniti.

Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Perasmian Surau Abu Hassan Ar-Raudhah, Prof Dr Abdullah Bade berkata, rekabentuk kubah surau berkenaan diinspirasikan daripada ‘Songkok Recca’.

Katanya, songkok itu merupakan simbol kepada kebanggaan masyarakat Bugis Sabah dan struktur surau bukan sekadar tempat solat, tetapi juga lambang warisan dan jati diri.

“Kami mula merancang membina surau ini pada Julai 2023 dan Alhamdulillah, pembinaan fasa pertama siap pada 22 Mac 2024.

“Rekabentuk Songkok Recca ini adalah usaha kami untuk menonjolkan identiti komuniti Bugis di Sabah melalui seni bina Islamik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Surau Abu Hassan Ar-Raudhah di sini pada Ahad.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Abdullah berkata, projek pembinaan surau itu dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan orang ramai termasuk dari seluruh negara.

“Kos pembinaan bangunan surau sahaja adalah sekitar RM950,000, manakala kos keseluruhan kompleks dianggarkan RM1.4 juta,” katanya.

Menurutnya lagi, Kompleks Surau Abu Hassan Ar-Raudhah bukan hanya terdiri daripada surau utama, tetapi turut merangkumi homestay, bangunan kedai, dan dewan serbaguna

Katanya, pembinaan itu kini sedang giat disiapkan di bawah fasa kedua pembinaan.

“Setakat ini, komponen surau telah siap 100 peratus, manakala keseluruhan kompleks dianggarkan telah mencapai 70 peratus siap,” katanya.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, Surau itu mampu menampung sehingga 850 jemaah pada satu-satu masa, menjadikannya antara surau terbaharu di kawasan Tuaran.

Katanya, dengan rekaan ikonik dan lokasi strategik, ia dijangka menjadi tarikan pelancongan budaya dan agama, seiring dengan kemunculan kompleks ini sebagai pusat komuniti.

“Kami jangkakan pelancong akan tertarik untuk datang melihat seni bina unik ini. Di kawasan kedai nanti, mereka boleh mencuba memakai pakaian tradisi dan songkok recak, menjadikan pengalaman mereka lebih bermakna,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat agar terus menyumbang agar fasa kedua dapat disiapkan menjelang awal tahun depan.

Tambahnya, pembinaan fasa kedua, yang melibatkan tiga lagi kubah dan keseluruhan fasiliti sokongan, masih bergantung kepada derma dan sokongan awam.

“Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi jawatankuasa pembinaan atau menyalurkan bantuan melalui akaun rasmi yang akan diumumkan,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

RON95 diturunkan kepada RM1.99 di bawah program BUDI95

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular