HomePendapatMalaysia Berjaya Kurangkan Kemiskinan, Sabah Catat Kejayaan Signifikan

Malaysia Berjaya Kurangkan Kemiskinan, Sabah Catat Kejayaan Signifikan

Read Time:2 Minute, 19 Second

oleh Wan Azrain Adnan

KUALA LUMPUR, Agenda pembasmian kemiskinan negara telah mencapai kejayaan besar apabila kadar miskin mutlak berjaya diturunkan daripada hampir separuh penduduk pada awal kemerdekaan kepada hanya sekitar enam peratus pada 2022.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia baru-baru ini berkata, kejayaan mengurangkan kemiskinan adalah antara pencapaian utama Malaysia sejak 1957. Menurut beliau, sepuluh tahun selepas merdeka, hampir separuh rakyat negara ini hidup miskin, tetapi kini hanya enam daripada setiap 100 orang berada dalam kelompok miskin. Secara keseluruhan, lebih 14 juta rakyat telah keluar daripada kitaran kemiskinan dalam tempoh lebih setengah abad.

Penurunan Luar Biasa Insiden Miskin Mutlak

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengesahkan insiden miskin mutlak turun daripada 49.3 peratus pada 1970 kepada 6.2 peratus pada 2022. Pada masa sama, kerajaan turut berjaya menangani isu miskin tegar, iaitu isi rumah dengan pendapatan di bawah garis kemiskinan makanan (RM1,198).

Pada Februari 2025, Kementerian Ekonomi melaporkan bahawa Perlis, Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan Putrajaya telah berjaya menghapuskan miskin tegar.

Sabah Lonjak Kurangkan Miskin Tegar

Sabah, yang sebelum ini merekodkan kadar miskin tegar tertinggi di Malaysia, turut mencatatkan kejayaan signifikan. Semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada April lalu, kerajaan negeri memaklumkan bahawa jumlah miskin tegar berjaya dikurangkan hampir 90 peratus dalam tempoh setahun, daripada 14,553 ketua isi rumah (29 Februari 2024) kepada hanya 1,464 (28 Februari 2025).

Pencapaian ini adalah lonjakan terbesar di seluruh negara dan menjadi penanda aras penting bahawa Sabah kini berada di landasan lebih kukuh dalam usaha membasmi miskin tegar.

Kedudukan Malaysia di ASEAN

Laporan ASEAN Key Figures 2024 yang diterbitkan oleh ASEAN Secretariat menunjukkan kadar kemiskinan Malaysia (6.2 peratus) adalah kedua terendah di rantau ini selepas Vietnam (3.4 peratus). Kadar tertinggi dicatatkan Myanmar (24.8 peratus) dan Kemboja (21.5 peratus).

Namun, Malaysia masih berdepan cabaran dari segi jurang pendapatan. Dengan Pekali Gini 0.40, Malaysia mencatatkan ketidaksamarataan pendapatan antara yang tertinggi di ASEAN, berbanding Myanmar (0.30) dan Kemboja (0.29).

Pendapatan Masih Rendah

Menurut laporan Sorotan Pasaran Buruh Suku Kedua 2025, median upah bulanan pekerja Malaysia pada Mac 2025 ialah RM3,000, iaitu lebih rendah daripada gaji kehidupan wajar sekitar RM3,100 sebagaimana digariskan dalam Panduan Belanjawanku 2024/2025. Ini bermakna separuh pekerja negara memperoleh pendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

Tidak hairanlah seramai 5.4 juta rakyat layak menerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dengan penerima di Sabah sahaja mencecah 506,000 orang melibatkan peruntukan RM500 juta setahun.

Meskipun kejayaan besar dicapai dalam agenda membasmi kemiskinan, Malaysia masih berdepan cabaran dua serampang — pendapatan rakyat yang rendah dan jurang pendapatan yang besar.

Justeru, Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) disaran memberi penekanan kepada pemerkasaan kesamarataan pendapatan agar semua lapisan rakyat, tanpa mengira bangsa, gender, negeri atau wilayah, dapat menikmati kekayaan negara secara adil dan saksama.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Rakyat Sabah mahu penyelesaian tuntas, bukan lagi janji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular