ISKANDAR PUTERI : Ketua Jurulatih Sabah FC Jean-Paul de Marigny mengakui pasukannya perlu segera bangkit dan belajar daripada kekalahan selepas tewas 0-8 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.
Selain itu, Jean Paul turut mengakui pasukan Harimau Selatan itu memiliki skuad yang luar biasa dengan kualiti di setiap kedudukan.
Katanya, kelemahan pemainnya sehingga membenarkan skuad JDT menguasai bahagian tengah menjadi punca utama mereka hilang tumpuan.
“Pada babak pertama, kami kekurangan pemain di bahagian tengah, pergerakan dan pertukaran posisi mereka benar-benar menyukarkan kami dan dari situ mereka berjaya membolosi gawang gol.

“Pada babak kedua, pasukan dapat menangani masalah di bahagian tengah, namun tetap sukar untuk mengejar semula permainan,” katanya pada sidang media itu.
Meskipun berdepan kekalahan teruk, Jean Paul optimis bahawa anak buahnya akan bangkit dan menyusun semula strategi untuk tampil dengan prestasi lebih baik pada perlawanan seterusnya.
Pada perlawanan itu, Joao Figueiredo pada minit ke-11, minit ke-23 dan minit ke-45 dan Bergson Da Silva pada minit ke-61, minit ke-74 dan minit ke-90 masing-masing masing-masing meledak hatrik manakala Oscar Arribas pada minit keenam masing-masing menjaringkan satu gol.
Jean Paul berkata, kekalahan memalukan itu adalah satu pengajaran buat pasukan yang merekodkan kekalahan pertama musim ini dan menuntut pemain untuk bangkit pada perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, 27 September ini. – FOTO SABAH FC