SIPITANG: Beberapa buah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri dan syarikat swasta tampil memberi sumbangan bakul makanan bagi meringankan beban penduduk kampung terjejas banjir di daerah Sipitang.
Antara yang tampil menyumbang adalah Qhazanah Sabah Berhad (QSB) dan Yayasan Qhazanah Sabah (YQS) yang menyampaikan sumbangan bakul makanan di Kampung Luagan.
Turut memberikan sumbangan adalah Seri Wilayah Engineering Sdn Bhd dan kakitangan PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah dan ZLNG.

Mereka memberikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk kampung terjejas banjir masing-masing di Kampung Tanjung Nipis dan Kampung Kawang Tali Air.
Pengerusi QSB yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob hadir di tiga majlis penyampaian bakul makanan di tiga kampung itu, semalam.
Beliau mengalu-alukan sumbangan bakul makanan tersebut dapat meringkan sedikit beban kepada penduduk yang terjejas banjir di daerah Sipitang.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat di kawasan itu, beliau akan memastikan kebajikan mangsa banjir yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan di kampung-kampung terjejas banjir dijaga.

Sebelum ini, mangsa banjir di tiga PPS Sipitang iaitu di Dewan Mini Mesapol, SM Padang Berampah dan SK Padang Berampah turut menerima sumbangan bakul makanan daripada QSB dan YQS.