PUTATAN : Seorang pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima sumbangan bantuan pendidikan bagi meringankan beban persiapan sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) hujung bulan ini.
Pelajar berkenaan, Nooy Saswani Sabri, 20, berasal dari Putatan merupakan anak kedua daripada empat beradik dan dibesarkan oleh ibunya, Noor Fazlilwaty Ghulamdin sejak tahun 2017 selepas pemergian bapanya.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor di kediaman keluarga Nooy.
Bantuan yang diterima meliputi wang tunai, keperluan asas pelajar, bakul makanan dan beg galas sebagai persediaan untuk kemasukan ke kampus UMS pada 27 hingga 29 September ini.
Nooy menzahirkan rasa syukur dan terharu dengan keprihatinan pihak universiti.
“Saya amat terharu dan bersyukur atas bantuan ini. Ia benar-benar meringankan beban ibu saya yang membesarkan saya seorang diri.
“Bantuan ini akan saya jadikan pembakar semangat untuk berjaya dalam pengajian dan mengubah masa depan keluarga,” katanya.
Ibunya, Noor Fazlilwaty turut berterima kasih kepada pihak UMS yang peka terhadap cabaran dihadapi keluarga berpendapatan rendah.
“Sebagai ibu tunggal, saya sering bimbang tentang keperluan anak untuk menyambung pelajaran. Alhamdulillah, sumbangan ini sangat membantu dan memberi kelegaan kepada kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, Kasim menegaskan bahawa inisiatif tersebut adalah sebahagian usaha UMS memastikan pelajar berpotensi daripada keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir daripada melanjutkan pengajian tinggi.
“Kami percaya pelaburan dalam pendidikan adalah kunci masa depan. Semoga bantuan kecil ini dapat memberi impak besar kepada anak muda seperti beliau,” katanya. – Chronivo / FOTO UMS