HomeUtamaSyarikat pengangkutan di Sabah, Sarawak digesa segera daftar SKPS

Syarikat pengangkutan di Sabah, Sarawak digesa segera daftar SKPS

Read Time:1 Minute, 56 Second

Oleh Florieta Diet

PENAMPANG: Syarikat pengangkutan darat awam dan barangan di Sabah dan Sarawak digesa segera membuat pendaftaran dalam Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi menikmati manfaat subsidi petrol RON95.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendaftaran yang dibuka sejak 15 September lalu boleh dibuat dengan mudah melalui pautan http://mysubsidi.kpdn.gov.my.

“Proses pendaftaran dan permohonan SKPS sangat mudah, malah jika dokumen lengkap, kelulusan boleh diperoleh dalam tempoh sejam sahaja. Namun selepas itu, syarikat perlu memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan, dan proses ini mungkin mengambil masa. Jika lewat mendaftar, dikhuatiri syarikat tidak sempat menikmati subsidi apabila pelaksanaan bermula,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan KDCA, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga 20 September, kadar pendaftaran masih rendah walaupun jumlah kenderaan yang layak agak besar.

“Di Sabah, hanya 89 daripada 2,677 kenderaan yang layak sudah berdaftar. Di Sarawak pula, hanya enam daripada 1,970 kenderaan yang tersenarai dalam data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mendaftar,” jelasnya.

Armizan menegaskan, berbeza dengan subsidi diesel, penyasaran subsidi petrol RON95 akan dilaksanakan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan menikmati harga petrol RON95 pada kadar subsidi RM1.99 seliter. Namun bagi syarikat pengangkutan awam dan barangan, mereka mesti mendaftar SKPS untuk mendapatkan fleet card,” katanya.

Menurut beliau, pendaftaran yang cepat akan memudahkan syarikat memperoleh manfaat subsidi dan secara tidak langsung memastikan kos perkhidmatan pengangkutan kepada rakyat tidak terjejas.

“Jangan tunggu saat akhir baru mahu daftar, kemudian menyalahkan kerajaan. Saya menyeru semua syarikat yang layak supaya bertindak segera. Manfaat ini bukan hanya untuk syarikat, tetapi juga untuk rakyat kerana mereka menggunakan perkhidmatan pengangkutan ini,” tegasnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa mekanisme pembayaran subsidi petrol bagi pengguna persendirian tidak hanya terhad kepada penggunaan MyKad, sebaliknya pelbagai pilihan transaksi akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan dalam masa terdekat, termasuk melalui aplikasi syarikat minyak dan terminal pembayaran di stesen minyak.

“Ini untuk membolehkan rakyat di Sabah dan Sarawak juga menikmati harga runcit petrol RON95 yang lebih rendah iaitu pada kadar RM1.99 per liter sebagaimana yang telah diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.

“Butiran penuh mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan dalam masa terdekat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular