Oleh Florieta Diet
PENAMPANG: Kerajaan Negeri bercadang memberi pendidikan percuma kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi milik kerajaan negeri iaitu University College Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, inilah bukti kesungguhan kerajaan untuk memastikan lebih ramai anak Sabah dibantu bagi menjamin akses pendidikan sampai kepada para pelajar yang layak.
“Kerajaan Negeri memberi penekanan serius kepada soal pendidikan dan pembangunan modal insan kerana kita yakin golongan muda merupakan cerminan kepada masa hadapan negeri Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan KDCA, di sini, hari ini.
Selain itu, beliau menambah Kerajaan Negeri juga berhasrat memperkenalkan dasar subsidi pinjaman pendidikan khususnya pinjaman PTPTN dan Yayasan Sabah agar beban hutang pelajar dapat diringankan.
“Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 100,000 peminjam. Saya optimis, dasar ini praktikal untuk dilaksanakan Kerajaan Negeri sesuai dengan kedudukan kewangan kerajaan pada masa akan datang.”
katanya.
Hajiji berkata sejak diberikan amanah untuk mengemudi negeri Sabah, kerajaan pimpinannya memberi penumpuan serius terhadap pendidikan dan pembangunan modal insan. Perkara ini diterjemahkan melalui Hala Tuju SMJ, sebuah pelan pembangunan yang inklusif dan komprehensif yang terbukti berjaya membawa Sabah membangun dengan signifikan.
“Sejak tahun 2021, Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih RM1.3 bilion dalam bidang pendidikan. Jumlah ini merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah Sabah, menandakan komitmen tinggi kerajaan terhadap anak-anak muda.
“Lebih 14 inisiatif pendidikan diperkenalkan, antaranya Bantuan sekali sahaja sebanyak RM600 kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pelajaran ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan melalui program GRS-SubFly, selain bantuan sebanyak RM300 melalui inisiatif SENTOSA untuk pelajar yang belajar dalam negeri.
“Kerajaan Negeri juga telah menyediakan dana biasiswa tertinggi sejak merdeka iaitu RM136 juta pada tahun 2025 yang telah memanfaatkan ribuan pelajar di pelbagai peringkat pengajian,” katanya sambil menambah, Kerajaan Negeri turut menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membantu pelajar yang menghadapi cabaran kewangan.
“Semua ini dapat dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri telah berjaya meningkatkan hasil negeri ke tahap tertinggi dalam sejarah. Pendapatan negeri Sabah meningkat kepada hampir RM7 bilion,” katanya.
Beliau juga yakin rakyat Sabah, terutamanya 970,000 pengundi muda, akan membuat pilihan bijak pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) nanti. Hajiji berkata PRN-17 amat penting kerana ia akan menentukan kesinambungan pembangunan negeri Sabah di bawah GRS.
“Masa depan Sabah terletak di tangan anda. Jangan sia-siakan peluang ini. Sabah tidak lagi boleh ketinggalan. Kita ada potensi besar untuk menjadi negeri maju dan berjaya. Inilah masanya, inilah ketikanya,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan GRS telah membuktikan keupayaan dengan rekod pencapaian dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, ekonomi, kebajikan, pelaburan serta pengurusan hasil negeri.
“Buatlah pilihan terbaik, yang menjamin kesinambungan pembangunan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat. PRN kali ini merupakan peluang keemasan kita untuk memilih sebuah kerajaan yang kuat, dan yang paling penting kerajaan yang didominasi oleh parti tempatan.
“Jangan lagi kita mengulangi kesilapan sebelum ini. Kononnya mahukan perubahan, namun lain pula jadinya. Pembangunan dan kemajuan negeri terencat. Banyak projek pembangunan terbengkalai disebabkan dasar yang lemah dan tidak terancang. Akhirnya, kita semua yang menerima kesannya,” katanya.