KOTA KINABALU : Konvensyen Mahasiswa Sabah menjadi platform penting menghimpunkan mahasiswa serta pimpinan muda negeri ini untuk menyuarakan aspirasi mereka.
Majlis itu dihadiri dan mendapat sokongan penuh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Azrul Ibrahim berkata seramai lapan pembahas mewakili lapan kluster tampil dengan hujah bernas, meyakinkan dan berfakta.
Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau berkata hujah yang disampaikan kemudiannya disambut positif oleh Ketua Menteri.
Dalam ucapan Ketua Menteri, beliau menegaskan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited melaksanakan dasar subsidi pembayaran balik pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Sabah.
Beliau turut mengumumkan bahawa pendidikan percuma akan diberikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri.
“Iltizam ini bukan sahaja bertepatan dengan kedudukan kewangan negeri, tetapi juga tanggungjawab bersama dalam memastikan anak-anak Sabah mendapat peluang pendidikan terbaik,” katanya.
Konvensyen ini jelas membuktikan suara mahasiswa bukan sahaja dihargai, malah dijadikan asas penting dalam menggagaskan dasar pembangunan negeri.