Oleh Normimie Diun
PUTATAN: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan akan terus memelihara kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pelbagai inisiatif selain memperkukuh keselamatan di Sabah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lawatan kerjanya ke Sabah bukan sahaja menilai tahap kesiagaan anggota tentera, malah turut meninjau kemudahan dan kebajikan warga ATM.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan tahap kesiagaan ATM di Sabah. Malah, anggota kita turut memainkan peranan membantu ketika bencana banjir yang berlaku beberapa minggu lalu. Kita akan terus bersedia memainkan peranan dalam apa jua keadaan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas 5 Divisyen, Kem Lok Kawi di sini, hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melaksanakan pelbagai inisiatif kesejahteraan di bawah program Madani, termasuk konsep ‘kem angkat’ menggantikan kampung angkat.
Antara projek yang dijalankan ialah menaik taraf masjid, dewan serbaguna dan bilik air dengan peruntukan lebih RM100,000 setiap satu di lima kem tentera dua di Sabah dan tiga di Semenanjung.
Selain itu, LTAT turut melaksanakan Projek Sekolah Angkat Madani melibatkan 38 sekolah dalam kem tentera di seluruh negara.
Sempena lawatan itu, Mohamed Khaled turut merasmikan Blok Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan Kem Lok Kawi bernilai RM3.06 juta serta menyampaikan sumbangan RM25,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kem Tentera Sandakan.
Dalam aspek ekonomi Madani, katanya, kem-kem tentera dipilih melaksanakan projek berasaskan minat anggota seperti madu kelulut, tanaman herba, cendawan dan hidroponik.
“Di Sabah, projek madu kelulut membabitkan 40 peserta dengan peruntukan RM80,000, yang dijangka menjana pendapatan kira-kira RM1,700 sebulan setiap peserta,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut mengadakan tinjauan projek tandas baharu Masjid As-Salam dan penambahbaikan laluan rosak di Kem Lok Kawi membabitkan kos RM150,000.
Beliau turut menyantuni 500 anggota tentera serta awam di kem itu selain menyampaikan sumbangan kebajikan kepada 20 anggota dan keluarga yang menghidap penyakit kronik serta kurang upaya.
“Program ini bukan sekadar bantuan sekali gus seperti bakul makanan, tetapi peluang berterusan untuk menambah pendapatan anggota sehingga selepas mereka bersara. Usaha ini sekaligus menyumbang kepada industri makanan negara,” katanya.
Khaled turut menzahirkan simpati terhadap insiden membabitkan dua anggota tentera baru-baru ini yang seorang daripadanya ditemui meninggal dunia manakala seorang lagi masih hilang.
“Operasi mencari masih diteruskan oleh ATM secara tersendiri. Siasatan sedang dijalankan dan kita bersedia menerima apa sahaja keputusan daripada pihak berwajib,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi; Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Noorrul Azril Ariffin; Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi serta pegawai kanan Tentera Darat Malaysia.