KOTA KINABALU : Masyarakat wajar mencontohi sunnah Nabi Muhammad SAW dalam membina masyarakat sejahtera, bersatu padu dan berdaya saing dalam usaha membangunkan ummah Madani.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, Rasulullah SAW menzahirkan contoh terbaik ummah Madani dengan membina masyarakat yang berpaksikan keadilan, kasih sayang dan toleransi.
“Umat Islam hari ini memerlukan kekuatan bukan sahaja dalam aspek kerohanian, tetapi juga dalam ilmu pengetahuan, teknologi, ekonomi, serta disiplin hidup.
“Inilah makna sebenar membangunkan Ummah Madani, iaitu umat yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia, serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan sejagat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat UMS di Pusat Islam UMS.

Kasim berkata, Sambutan Maulidur Rasul pada setiap tahun juga memberi ruang untuk umat Islam memperbaharui tekad mencontohi akhlak Rasulullah SAW sebagai insan yang penuh kasih sayang, berlaku adil dan menjadi rahmat kepada sekalian alam.
“Baginda adalah model kepimpinan unggul yang patut kita teladani dalam kehidupan seharian, sama ada sebagai individu, ahli keluarga, masyarakat mahupun pemimpin.
“Semoga sambutan seperti ini akan melahirkan warga UMS yang berkasih sayang dan bekerjasama walaupun kita berbeza fikrah, budaya, bangsa dan agama,” katanya.
Bersempena dengan sambutan tersebut, turut diadakan pertandingan perarakan kontinjen terbaik yang disertai 22 kontinjen melibatkan 850 peserta dari pelbagai fakulti dan jabatan di UMS yang berkumpul di Perkarangan Dewan Canselor UMS sebelum berarak menuju ke Pusat Islam UMS.
Kontinjen Jabatan Pendaftar dinobat sebagai johan, sekali gus membawa hadiah kemenangan berjumlah RM 1,000, manakala kontinjen yang terdiri daripada gabungan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Pusat Pendidikan Fleksibel UMS, Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri, dan Pusat Kelestarian dan Libatsama Masyarakat mendapat tempat kedua dan menerima hadiah kemenangan berjumlah RM700.
Tempat ketiga dimenangi kontinjen dari gabungan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Hospital UMS, sekali gus menerima hadiah kemenangan sebanyak RM500 yang disampaikan Kasim.
Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Bendahari UMS, Datuk Badrul Hisyam Ismail; Ketua Perpustakaan UMS, Zawawi Tiyunin; Penasihat Undang-Undang UMS, Awang Suhaizam Bungso; Penolong Naib Canselor (Strategik) UMS, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree; dan Pengarah Pusat Islam UMS, Dr. Sarip Adul.