HomeUtamaTanah Runtuh Country Heights : Hanya sempat selamatkan dokumen – Emilia

Tanah Runtuh Country Heights : Hanya sempat selamatkan dokumen – Emilia

Read Time:1 Minute, 56 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

PENAMPANG : “Saya hanya sempat capai dokumen penting dan keluar menyelamatkan diri,” demikian luah Emilia Josephine Masiun, 33.

Emilia merupakan antara penghuni yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh di Taman Country Heights pada 15 September lalu.

Beliau yang masih trauma selepas berdepan detik cemas itu berkata, sewaktu kejadian dia berada di rumah bersama adiknya sebelum terdengar bunyi hentakan kuat seperti hempasan. 

Tidak lama kemudian katanya, jeritan seorang jiran bernama ‘Uncle John’ membuatkan suasana bertambah panik.

“Saya sudah terfikir ini tanah runtuh sebab sebelum ini memang hujan beberapa hari, tapi masa itu tiada hujan langsunh. 

“Saya terus suruh adik ambil kunci kereta untuk selamatkan kenderaan, tapi laluan sudah tertutup. Masa saya keluar, tiba-tiba runtuhan kedua berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Chronivo ketika tinjauan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke lokasi berkenaan petang tadi.

Hadir sama pada tinjauan itu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Menceritakan lanjut detik berdepan kejadian itu, Emilia berkata, lebih 10 buah kereta dan tiga motosikal tertimbus dalam insiden itu, termasuk kenderaan miliknya yang tidak sempat diselamatkan.

Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari dan sejak itu, semua penghuni diarahkan mengosongkan rumah masing-masing.

“Kami hanya mampu ambil dokumen dan barang kecil sahaja. Barang-barang besar masih terperangkap dalam rumah. 

“Buat masa ini kami menumpang di rumah rakan sementara menunggu arahan selanjutnya,” katanya.

Tambah Emilia, sebelum ini kawasan perumahan itu pernah terjejas banjir lumpur serta runtuhan pokok, namun kejadian kali ini jauh lebih serius hingga menjejaskan laluan utama penduduk.

“Harapan kami agar kerajaan dan pihak berkaitan segera menyediakan penempatan sementara yang lebih selesa, bukan sekadar pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kami perlukan tempat tinggal yang boleh bertahan berbulan-bulan, sementara kerja pembersihan dijalankan,” katanya.

Katanya, insiden itu turut meninggalkan kesan trauma kepada dirinya yang kini sukar tidur malam, malah berasa mual setiap kali teringat suasana cemas ketika tanah runtuh berlaku.

Setakat ini, tiada laporan kecederaan jiwa diterima, namun mangsa berharap agar pihak pengurusan serta kerajaan negeri segera tampil menyalurkan bantuan, khususnya berkaitan penempatan dan keselamatan penghuni kawasan berkenaan.

Pada tinjauan itu, Emilia berkata, Perdana Menteri meminta semua yang berkaitan  diuruskan dan segera diselesaikan selain kerja-kerja pembersihan dijalankan.

“Saya juga maklumkan kepada Perdana Menteri, harapan kami keutamaan kami sekarang untuk dapat penempatan tempat tinggal beberapa bulan sehingga selesai,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular