HomeUtamaPMX turun padang, dengar rintihan mangsa banjir di Penampang

PMX turun padang, dengar rintihan mangsa banjir di Penampang

Read Time:2 Minute, 33 Second

Oleh Florieta Diet

PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kolopis dan Sarapung, di sini.

Rata-rata mangsa di PPS Kolopis ketika ditemui Chronivo meluahkan rasa teruja dapat bertemu dengan Perdana Menteri (PMX) meskipun seketika sahaja, memandangkan jadual beliau yang padat.

Pada lawatan itu, PMX menyerahkan bakul bantuan banjir kepada 400 ketua isi rumah (KIR), melibatkan 170 KIR di PPS Kolopis, 170 KIR di PPS Sarapung, dan 60 KIR dari Kampung Inobong. Sumbangan berkenaan disalurkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Noiti

Penyelaras PPS Kolopis, Noiti Ibot @ Anna Nati, 54, yang turut terkesan banjir, berkata beliau gembira dengan kehadiran PMX bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, serta wakil rakyat lain yang hadir melawat dan memberikan sumbangan.

“Tidak juga lupa kepada pihak Sekolah Kebangsaan St. Paul Kolopis yang menyediakan tempat tinggal sementara kepada kami dan menyediakan makanan untuk hari pertama.

Badan bukan kerajaan dan orang perseorangan turut menghantar bantuan makanan serta pakaian kepada kami.

“Terima kasih kerana tidak membelakangkan kami ketika ditimpa kesusahan. Pada awal dipindahkan ke sini, kami memang serba kekurangan. Namun pihak sekolah menghulurkan makanan sementara menunggu bantuan tiba. Sehari selepas itu, barulah kami menerima bantuan daripada badan bukan kerajaan dan orang perseorangan,” katanya.

Menurutnya, masih terdapat beberapa keluarga yang tinggal di PPS kerana rumah mereka rosak dan belum dibaiki.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat mencarikan tempat tinggal sementara kerana PPS ini berada di kawasan sekolah dan mungkin akan mengganggu sesi pembelajaran pelajar,” tambahnya.

Sementara itu, Murjana Adzrik, 47, berkata beliau terharu dengan kehadiran PMX.

Murjana

“Saya rasa bangga kerana kita mempunyai Perdana Menteri yang begitu prihatin terhadap rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Beliau sendiri turun padang melihat keadaan kami. Kami bersyukur atas bantuan kerajaan negeri dan persekutuan yang meringankan beban kami ketika ini,” katanya.

Menurut Murjana, kawasan tempat tinggal mereka sering dilanda banjir.

“Dalam tahun ini sahaja sudah tiga kali berlaku, tetapi tidak teruk .. sekadar menjejaskan kawasan dapur kerana lantainya rendah. Namun banjir kali ini paling teruk sehingga memaksa saya bersama keluarga berpindah segera ke PPS Kolopis,” jelasnya.

Seorang lagi mangsa, Mohammad Akif, 33, turut berkongsi keterujaan dengan lawatan PMX.

Mohammad Akif

“Saya sangat gembira kerana beliau sanggup datang dari jauh untuk bertanya khabar walaupun sekejap sahaja,” katanya.

Tambahnya, hujan lebat baru-baru ini menyebabkan air naik dengan cepat. Demi keselamatan, beliau bersama isteri dan dua anak berpindah segera ke PPS Kolopis dan hanya mampu menunggu bantuan makanan serta ubat-ubatan daripada pihak berkuasa.

“Kami hanya mampu mengharapkan bantuan kerana tidak dapat berbuat apa-apa ketika itu,” katanya.

Ewon dalam kenyataannya hari ini berkata, tujuh agensi di bawah kementeriannya telah menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat bernilai hampir RM200,000 kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah.

“Sumbangan berupa bakul makanan, ubat-ubatan serta keperluan harian lain seperti lampin pakai buang telah mula diagihkan hari ini kepada penerima di Penampang, Kadamaian dan Papar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang menambah, bantuan seterusnya akan diagihkan secara berfasa sehingga semua sumbangan selesai disampaikan kepada 1,907 penerima.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular