HomeUtamaPM arah bantuan banjir dan tanah runtuh dipercepat di Sabah

PM arah bantuan banjir dan tanah runtuh dipercepat di Sabah

Read Time:1 Minute, 23 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua proses penyaluran bantuan dan kerja-kerja pemulihan akibat banjir serta tanah runtuh di Sabah akan dipercepatkan tanpa terikat dengan prosedur biasa.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan mangsa segera mendapat bantuan sewajarnya termasuk makanan, penempatan sementara serta pemulihan prasarana asas.

“Kalau ikut proses biasa, untuk siap jalan dan kemudahan akan ambil masa terlalu lama. Oleh itu saya sudah minta supaya ia dipercepatkan,” katanya pada sidang media selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, di sini, hari ini.

Anwar turut memberi jaminan bahawa kerajaan persekutuan akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah dalam menangani kesan bencana, termasuk di IPG berkenaan.

Katanya, beliau sebelum ini mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM10 juta ketika berada di Doha, namun tambahan sedang dikenal pasti bagi menampung kerosakan infrastruktur.

“Sekarang kita lihat ada beberapa keperluan yang memerlukan peruntukan lebih besar. Buat masa ini, fokus kita ialah membantu keluarga terlibat termasuk makan minum dan penempatan sementara. Soal prasarana seperti jalan raya dan kedudukan IPG ini juga diberi keutamaan,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerajaan masih menunggu laporan penuh daripada pihak kejuruteraan sama ada kampus IPG berkenaan boleh dibangunkan semula di tapak asal atau perlu dipindahkan ke lokasi baharu dengan kerjasama kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, kerajaan negeri serta semua jentera persekutuan dan negeri yang bertungkus lumus membantu mangsa, termasuk pasukan tenaga elektrik.

“Saya lihat rakyat bangga dengan kesiap siagaan dan pengorbanan staf di lapangan. Insya-Allah, kerajaan negeri dan persekutuan akan terus selaraskan segala keperluan sama ada di bawah tanggungan negeri atau persekutuan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular