Oleh Erdie Ab Wahid
PENAMPANG : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi turun padang meninjau sendiri situasi bencana di negeri ini termasuklah tanah runtuh di Taman Country Heights.
Beliau yang diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor tiba di taman perumahan berkenaan kira-kira jam 2.50 petang tadi

Sejurus tiba, Perdana Menteri dibawa ke lokasi tanah runtuh dan diberi taklimat mengenai kejadian oleh jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebelum bertemu penghuni blok perumahan yang terjejas.
Selepas itu, beliau sekali lagi diberi taklimat oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berhubung operasi pemantauan dan keselamatan lokasi tanah runtuh.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Penampang Noemi Dyena John Tren berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk memindahkan penghuni terjejas ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Selain itu, ada juga yang telah berpindah ke rumah keluarga masing-masing. Bagaimanapun pihak Majlis Perbandaran Penampang (MPP) sedang meneliti mana-mana rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sedia ada untuk kita tempatkan mereka,” katanya.

Difahamkan sebanyak 32 unit rumah di blok berkenaan terjejas dengan insiden tanah runtuh berkenaan selain hampir 10 buah kenderaan termasuk motorsikal turut rosak. – Chronivo / FOTO Alexter Rosalia