Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: “Kak M”, nama yang disebut dalam rakaman audio antara Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dan ibunya, bukanlah pelajar pertama yang menemui Zara dalam keadaan terlentang tidak sedarkan diri di asrama SMKA TDM pada 16 Julai lalu.
Ketua warden asrama Azhari Abd Sagap berkata pelajar pertama itu merupakan seorang murid yang baik namun menjadi mangsa kecaman di media sosial.
“Saya kena tegaskan di sini, Kak M tu bukan (nama pelajar pertama yang menemui Zara tidak sedarkan diri disebut), kenapa dia yang dikecam.
“Kenapa dia punya muka yang diviralkan. Pelajar ni budak yang baik, peserta hafazan saya setiap tahun….bagi saya tuduhan terhadap pelajar ni kejam, hanya kerana dia orang pertama yang jumpa Zara di sana.
“Kalau tiada pelajar ni, macam mana Zara, mungkin Zara sudah kehilangan nyawa dia sana… Tapi tapi ini yang dia dapat,” luah saksi kelapan itu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Azhari memberi kenyataan tersebut ketika sesi pemeriksaan saksi oleh peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah yang mewakili pelajar B, C, D dan E.
Menjawab soalan daripada peguam Joan Goh yang mewakili pelajar A, Azhari berkata berdasarkan hasil siasatan sekolah Kak M mengeluarkan kata-kata “kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni” kerana adiknya “diejek”.
“Ini yang kami dapat daripada siasatan sekolah. Zara dan A dipanggil oleh adik Kak M berhubung cebisan nota yang ditulis oleh Zara “…..(nama pelajar)…. dia seorang yang sok orku sengaja takutkan Form 1 padahal baru saja junior.” Ini ayat sebenar dalam cebisan kertas yang ditulis yang sudah saya serahkan kepada pegawai polis,” katanya sambil menjelaskan “orku” tu maksudnya orang kuat.
Azhari berkata bahawa adik kepada Kak M telah memanggil Zara dan seorang lagi pelajar, A, ke biliknya. Ketika itu, Kak M berada dalam keadaan emosi tidak stabil kerana biliknya berselerak, dan secara kebetulan dia melalui hadapan bilik adiknya yang sedang berjumpa dengan Zara dan pelajar A.
“Dia (Kak M) tanya kenapa dan itulah yang dia ucapkan “kalau aku touch touch kau ni, bedarah kau.”
“Saya tidak tahu audio itu betul atau tidak tapi cerita itu ada berlaku di sekolah dan pelajar juga beritahu kejadian ini berlaku bulan Mei,” katanya pada prosiding inkues kematian Zara petang kelmarin.
Menurutnya, tiada sebarang aduan dibuat oleh Zara, pelajar A, atau ibu masing-masing berhubung insiden “touch-touch” tersebut.
Tambahnya lagi, pihak sekolah tidak mengetahui cerita mengenai Kak M sehinggalah audio rakaman percakapan tular di media sosial.
Terdahulu, rakaman audio perbualan telefon antara Zara dan ibunya, yang antara lain mendedahkan insiden melibatkan ‘Kak M’ dan beberapa individu lain, didengar di Mahkamah.