Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah.
Tiga tertuduh iaitu Lim Chia Siong, 36, Zulkifli Abdullah @ Lee You Lim, 58, dan Leong Vin Ming, 47, didakwa terbabit dalam pengedaran 20.7 kilogram ketamin.
Dua lagi individu ialah Mohammad Adam Jelson, 20, dan Abu Bakar Sidik Ibrahim, 44.
Lim, Zulkifli dan Leong yang didakwa di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus, bersama-sama dituduh mengedar 20,700 gram ketamin pada 4 Sept lalu, kira-kira jam 12.15 tengah hari, di GMP Services, Taman Sri Kepayan, Kepayan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Sementara itu, Adam didakwa mengedar 139.44 gram 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) pada 11 Sept lalu, kira-kira jam 11 pagi, di tempat letak kereta University Utama Condominium, Jalan Kayu Madang, Telipok.
Abu Bakar pula didakwa mengedar 53.11 gram syabu pada 5 Sept lalu, kira-kira jam 4.30 petang, di tepi jalan Kg Ambatin, Jalan Terowong, Sabah Port Bypass, Sepanggar.
Pertuduhan terhadap Adam dan Abu Bakar dibacakan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kelima-lima tertuduh ketika pertuduhan dibacakan kepada mereka.
Mahkamah menetapkan 12 Nov untuk sebutan semula kes Lim, Zulkifli dan Leong, manakala 13 Nov bagi kes Adam dan Abu Bakar, sementara menunggu laporan kimia.
Tiada jaminan dibenarkan dan kesemua tertuduh diperintahkan akan terus ditahan sementara menunggu kes selesai.
Leong diwakili oleh peguam Ariel Dasan, Dominic Chew dan Eow Ee Pei.
Pendakwaan dilakukan oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah dan Inspektor Yusdi Basri.