HomeUtamaGLC diminta tampil bantu mangsa banjir di Sabah

GLC diminta tampil bantu mangsa banjir di Sabah

Read Time:1 Minute, 26 Second

MEMBAKUT : Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Sabah diminta agar tampil menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir yang kini ditempatkan di 22 Pusat Penempatan Sementara (PPS) di enam buah daerah di Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bencana banjir ini adalah masa paling tepat bagi syarikat-syarikat berkenaan menzahirkan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Katanya, GLC amat digalakkan dengan turun padang membantu masyarakat yang sedang dalam kesusahan.

“Inilah masanya kita memberikan santunan CSR kepada mangsa banjir. Bukan sahaja dengan sumbangan keperluan harian, tetapi juga selepas pasca banjir nanti untuk bersama-sama membersihkan sekolah, masjid dan kemudahan awam lain yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan bakul makanan kepada penduduk terjejas banjir di daerah ini di sini pada Khamis.

Katanya, sebanyak 400 bakul makanan telah diagihkan dalam tempoh dua hari di beberapa buah kampung terjejas di sini termasuk termasuk Kampung Pimping, Kampung Brunei dan Kampung Madang.

Dalam pada itu, Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap sekolah terjejas bagi tujuan pembersihan dan pembaikan.

Katanya, berdasarkan rekod, lebih 30 buah sekolah dikenal pasti terkesan, termasuk dua sekolah di Membakut yang turut dijadikan PPS.

Beliau turut memberi jaminan bahawa masjid dan surau yang rosak akibat banjir tidak akan diketepikan.

Menurutnya , bantuan khas melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk kerja pembersihan serta pembaikan segera akan disalurkan.

Beliau menegaskan, bencana ini seharusnya menjadi medan penyatuan rakyat dan bukannya medan perbezaan.

“Rumah mungkin tenggelam, jalan mungkin terputus, tetapi jangan biarkan semangat perpaduan kita tenggelam.

“Semua pihak perlu bersama tanpa mengira politik dan kaum untuk membantu mereka yang terkesan,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular