SIPITANG: Seramai 91 keluarga yang terjejas banjir di dua Pusat Pemindahan Sementera (PPS) Sipitang di sini menerima sumbangan makanan menerusi tanggungjawab sosial korporat Qhazanah Sabah Berhad (QSB) dan Yayasan Qhazanah Sabah (YQS).
Penyerahan sumbangan sebanyak 150 bakul makanan itu disampaikan Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad Datuk Dr Yusof Yacob hari ini.
Seramai 49 keluarga di PPS SK Padang Berampah dan 42 keluarga di SM Padang Berampah.
Selebihnya akan diagihkan terus kepada penduduk di kampung yang terjejas banjir.

Hadir sama, Abd Karim A.M Zahari, Pegawai Daerah Sipitang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sipitang, Ketua Polis Daerah Sipitang Supt Awang Anak Suanda dan Ketua Bahagian Parti Silolidariti Tanah Airku (STAR) Eric Suab @ Majid Boh.
Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban penduduk kampung yang terjejas banjir.
Katanya, pemindahan penduduk yang kediaman mereka terjejas banjir atas faktor keselamatan dan memudahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah menjaga kebajikan mereka dari segi makanan, tempat tinggal dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
Dr Yusof turut menghargai sumbangan pasukan keselamatan dan agensi dibawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk terjejas dijaga.