Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemui lemas ketika mandi-manda di Sungai Balung berhampiran Balung River Eco Resort, Batu 24 Jalan Apas, semalam.
Ketua Balai BBP Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.24 petang sebelum mengarahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau ke lokasi kejadian.
“Seramai 10 anggota bomba bersama dua jentera dikerahkan dan tiba di lokasi kira-kira sejam kemudian, dengan jarak perjalanan 45 kilometer dari balai. Turut hadir membantu, tujuh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, operasi pencarian berjaya menemui mangsa kira-kira jam 5.35 petang pada jarak 50 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.
“Mangsa ditemukan pada kedalaman tiga kaki dan tersangkut di celah batu di dasar sungai. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.